
SIMANGGANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor mahu permainan tradisi Burdah terus dihidupkan dan diturunkan kepada generasi muda masa kini.
Beliau berkata permainan Burdah merupakan kesenian Melayu lama di Sarawak yang masih diamalkan dan hanya terdapat di Bahagian Sri Aman sahaja iaitu di Kampung Hulu Lemanak.
“Permainan tradisi Burdah ini kita harus kekalkan dan terus dihidupkan, kalau ada anak-anak yang berminat kita perlu asahkan bermula dari sekarang.
“Saya tahu di Kampung Hulu Lemanak ini terdapat sebuah kumpulan Burdah daripada golongan belia, dan saya berharap kampung-kampung lain juga mewujudkan kumpulan Burdah yang melibatkan golongan belia.
“Kita tidak mahu warisan yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita terdahulu tidak terus ditelan arus pemodenan zaman dan perlu diturunkan serta diwarisi generasi muda pada masa kini,” katanya ketika berucap pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran enam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Dewan Seri Lemanak, semalam.
Kesenian gendang Burdah ini sering dipersembahkan pada majlis-majlis keramaian, Maulidur Rasul, perkahwinan, kenduri kendara dan kelahiran.
Dalam pada itu, Program Jelajah Raya JKKK bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.28 Lingga di Dewan Seri Lemanak adalah merupakan lokasi terakhir diadakan pada tahun ini di 11 buah lokasi.
“Program Jelajah Raya JKKK DUN N.28 Lingga yang telah memasuki edisi keempat yang dianjurkan tahun ini adalah menjadi platform terbaik bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.
“Ia menyaksikan semangat kerjasama yang tinggi antara masyarakat bagi menjayakannya. Ini adalah semangat yang kita mahu lihat setiap kali penduduk menganjurkan aktiviti terutamanya gabungan diantara JKKK,” kata Dayang Noorazah.
Turut hadir Pegawai Khas dari Pejabat Premier Sarawak Datuk Bujang Helmi Hazmi, Temenggung Mohamad Shah Achang, Pemanca Abang Norin Abang Norudin, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga, Suhaidi Los, Pengerusi Majlis, Ketua Kampung Kiffle Morni dan Penghulu Zamari Morshidi.
Oleh Adi Safarman