
Sebuah sarang dadah dikenali sebagai 'Port Bukit' yang ditemui dan telah dimusnahkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak semasa Operasi Operasi Perdana/Bersepadu, di kawasan Sungai Asap, Belaga (Bahagian Kapit), baru-baru ini. Foto Bernama
SIBU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak berjaya memusnahkan sebuah pondok yang dijadikan sarang pengedaran dadah berhampiran Skim Penempatan Semula Sungai Asap, Belaga, sebuah kawasan di pedalaman negeri itu, dalam Operasi Perdana/Bersepadu baru-baru ini.
Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Sarawak Mohamed Izuan Abdul Rahman berkata operasi dua hari yang turut disertai Jabatan Imigresen Bahagian Kapit itu diadakan pada Khamis dan Jumaat lepas.
“Semasa serbuan pada hari pertama kira-kira pukul 11.30 pagi, dua lelaki dipercayai seorang warga tempatan dan seorang warga asing yang bertindak sebagai penjaga sarang terbabit telah melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukan operasi,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata berdasarkan risikan dan siasatan AADK, pondok berkenaan dipercayai menjadi pusat pengedaran dan penjualan dadah kepada penagih di sekitar Sungai Asap dan kawasan berdekatan.
Sarang dadah yang dikenali dengan gelaran “Port Bukit” itu katanya, dilengkapi dengan dapur memasak dan dibina jauh dari kawasan penempatan dengan akses yang sukar melalui jalan berbukit dan berliku.
Mohamed Izuan berkata kelengkapan memasak menunjukkan pondok itu turut dijadikan tempat bermalam, bukan sekadar lokasi transaksi dadah.
Tindakan membakar dan memusnahkan pondok terbabit diambil bagi memastikan aktiviti penjualan dadah di kawasan itu tidak berulang, memandangkan ramai pelanggan ialah golongan muda.
“Kalau ikutkan, Sungai Asap ini ialah kawasan pedalaman. Ia membuktikan isu dadah kini bukan lagi tertumpu di bandar, malah sudah menular ke kawasan luar bandar,” katanya.
Mohamed Izuan menyeru masyarakat setempat agar lebih peka dan membantu pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penagihan dan pengedaran dadah.
“Prihatinlah terhadap komuniti anda sendiri. Mungkin hari ini belum terkena anak kita, tetapi esok lusa kita tidak tahu. Bertindak sekarang untuk selamatkan anak bangsa kita daripada najis dadah,” katanya.
— BERNAMA