
SANTUBONG: Sarawak terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh agenda digital negeri melalui pelancaran program latihan Kecerdasan Buatan (AI), MCMC-Microsoft AI TEACH.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, inisiatif ini dilihat sebagai langkah strategik untuk merapatkan jurang digital dan meningkatkan daya saing rakyat dalam ekonomi berasaskan teknologi.
Katanya, kerajaan Sarawak komited memastikan kemahiran digital dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat, selaras dengan aspirasi Sarawak Digital Economy Blueprint 2030.

“Kerajaan Sarawak komited merealisasikan transformasi digital negeri melalui pelbagai inisiatif, termasuk penubuhan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) yang berperanan utama dalam memperkenalkan teknologi digital ke pelbagai sektor seperti pertanian pintar, pendidikan, kesihatan, dan perusahaan tempatan.
“Antara tumpuan utama kerajaan ialah memastikan akses digital yang adil kepada komuniti luar bandar, menerusi pembinaan menara telekomunikasi, pelaksanaan program NADI, serta penubuhan pusat komuniti digital.
“Inisiatif ini bertujuan memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan digital,” katanya pada ketika berucap pada majlis Pelancaran MCMC-Microsoft AI TEACH: Skills For AI-Enabled Economy Peringkat Sarawak, di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di sini, hari ini.
Tambah beliau, kerajaan Sarawak memberi perhatian kepada pembangunan modal insan melalui pelbagai program latihan seperti MCMC Microsoft AI TEACH, menyasarkan kumpulan rentan, penjawat awam dan masyarakat umum untuk menjadi pengguna serta pencipta teknologi.
Katanya, program ini dijalankan dengan kerjasama strategik antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Microsoft Malaysia, Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS) dan SDEC.

“Setakat ini, lebih 2,000 peserta dari seluruh negara telah menjalani latihan ini, merangkumi asas AI, AI Generatif, prinsip etika dan keselamatan serta kemahiran praktikal untuk kehidupan seharian dan kerjaya.
“Usaha ini selari dengan hasrat Sarawak untuk membina tenaga kerja masa depan yang kompeten dan mampu bersaing di peringkat global,” katanya.
Katanya, dalam usaha membina kerajaan pintar, pelbagai perkhidmatan kerajaan seperti pembayaran bil, permohonan lesen, aduan awam dan pelaporan kini telah beralih ke platform dalam talian.
“Pendigitalan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan, malah turut memperkukuh ketelusan perkhidmatan awam.
“Perancangan ke arah pembangunan bandar pintar sedang giat dijalankan, selaras dengan visi Sarawak untuk muncul sebagai hab digital Borneo,” katanya.
Beliau menambah kerajaan Sarawak turut mengingatkan mengenai risiko teknologi seperti serangan siber, penyebaran maklumat palsu dan kandungan manipulatif seperti deepfake.
Justeru, kataya, Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Negara (AIGE) telah diperkenalkan bagi memastikan penggunaan AI selaras dengan prinsip keselamatan, privasi dan hak asasi manusia.
“Program AI TEACH dianggap sebagai tonggak penting dalam membina ekosistem digital inklusif dan mampan.
“Berdasarkan laporan Forum Ekonomi Dunia, menjelang 2025, dianggarkan 85 juta pekerjaan sedia ada akan terjejas akibat automasi, namun 97 juta pekerjaan baharu berasaskan teknologi dijangka wujud.
“Ini menjadikan latihan AI bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan mendesak,” katanya.
Jelasnya, menerusi sokongan penuh kerajaan Sarawak dan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan, program itu dijangka terus diperluas ke seluruh Sarawak bagi memperkasa lebih ramai rakyat dalam menghadapi cabaran ekonomi digital masa depan secara beretika, inklusif dan mampan.