KUALA LUMPUR: Kejayaan Malaysia meratakan lengkung Covid-19 telah meletakkan ekonomi pada tahap yang lebih kukuh untuk menarik pelaburan langsung asing, namun, ia juga memerlukan lonjakan besar bagi melaksanakan aspek automasi dan digitalisasi, kata Pengurus Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Lau Zheng Zhou.
Kerajaan perlu menggalakkan lebih ramai pengeluar terutamanya mereka dari peringkat pertengahan untuk melabur dalam automasi serta inisiatif peningkatan produktivti berasaskan digital yang lain, kata beliau.
Menurut kaji selidik Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), pekilang Malaysia mendakwa bahawa sehingga 40 peratus operasi sudah dilakukan secara automasi seperti dalam pemasangan, pemeriksaan dan pengujian, pembungkusan dan pergudangan.
“Walaupun secara umum, terdapat peningkatan kilang-kilang telah menggunakan aspek automasi, kecepatan transformasi masih lagi rendah. Adalah penting untuk mengetahui apa cabarannya dan di mana adanya jurang dalam dasar sedia ada,” kata beliau kepada Bernama dalam temubual menerusi emel baru-baru ini.
Pandemik Covid-19 dan kejutan yang dicetuskan kepada kedua-dua permintaan tempatan dan global telah menambahkan risiko kepada penggunaan automasi, kata beliau.
“Bagi kebanyakan mereka, terutamanya pengeluar peringkat rendah hingga pertengahan, mereka kekurangan akses kepada platform pengetahuan untuk mengembangkan kemampuan dengan lebih berjaya.”
Penilaian Kesediaan Industry4WRD (RA Industry4WRD) disifatkan sebagai idea bernas untuk membantu syarikat menilai kemampuan mereka memanfaatkan 4.0.
“Tetapi ramai pengeluar tidak dapat menyertai program ini kerana peruntukan dan sumber yang terhad. Ini berlaku walaupun dengan peningkatan kos untuk mendapatkan sumber tenaga kerja asing dan kelebihan yang boleh diperoleh daripada automasi ini,” jelas beliau.
Dalam perkembangan lain, Lau berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19 turut menekankan kebergantungan pengeksport kepada China untuk mendapatkan bekalan bahan mentah penting yang menjuruskan kepada kos pengeluaran yang tinggi.
“Banyak syarikat multinasional yang sebelum ini bergantung kepada ekosistem rantaian bekalan China telah mempelbagaikan dan berpindah ke negara seperti Vietnam, Thailand dan Malaysia.
“Jadi, kerajaan masih perlu meneruskan dasar terbuka untuk menarik pelaburan berkualiti dalam usaha mempromosikan inovasi limpahan positif serta meningkatkan eksport nilai tambah yang lebih tinggi,” kata beliau.
Penularan pandemik Covid-19 telah menyaksikan eksport Malaysia susut teruk sebanyak 25.5 peratus tahun ke tahun kepada RM62.7 bilion pada Mei tahun ini, iaitu kejatuhan terbesar sejak Mei 2009.
Ini merupakan bulan kedua berturut-turut penurunan dua digit untuk eksport selepas mencatatkan kemerosotan 23.8 peratus tahun ke tahun pada bulan April.
Dalam pada itu, beberapa langkah dasar telah diperkenalkan oleh kerajaan termasuk Pelan Pemulihan Ekonomi dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat untuk membendung kesan akibat Covid-19 ke atas rakyat dan perniagaan.
Terdahulu, pada awal bulan ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyatakan ia beserta 20 pejabat luar negara dan 12 pejabat serantaunya akan sentiasa berusaha menjalankan promosi pelaburan dalam menarik pelaburan berkualiti daripada kawasan liputan masing-masing meskipun dalam situasi ekonomi membimbangkan disebabkan Covid-19. – Bernama