
SARIKEI: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) bakal memperluaskan pembinaan taman lalu lintas ke semua bahagian di Sarawak menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) sebagai usaha memperkukuh pendidikan keselamatan jalan raya di peringkat sekolah.
Menteri Pengangkutan yang juga Presiden Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata setakat ini hanya terdapat enam taman lalu lintas di negeri ini iaitu masing-masing di Kuching, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu dan Miri.
“Untuk RMK-13 nanti, kita akan mulakan rancangan membina taman lalu lintas di bahagian-bahagian lain yang belum ada, kerana program Sarawak Traffic Games ini akan melibatkan seluruh pelajar di Sarawak.
“Oleh kerana ini adalah program jangka panjang, jadi kita perlu mempertingkatkan taman lalu lintas kita iaitu kita harus mempunyai segala tanda-tanda atau isyarat lalu lintas dan sebagainya seperti di jalan raya sebenar supaya para pelajar yang mengambil bahagian dalam pertandingan lalu lintas (Sarawak Traffic Games) ini, mereka juga akan dapat merasakan seperti di jalan raya biasa yang digunakan setiap hari,” katanya.
Kim Shin berkata demikian ketika ditemu bual media selepas majlis perasmian program Sarawak Traffic Games -Sarikei 2025 di Taman Lalulintas Sarikei, hari ini.
Katanya, program Sarawak Traffic Games merupakan satu simulasi pendidikan keselamatan jalan raya yang bertujuan menanam sikap berhati-hati dan tanggungjawab sivik dalam kalangan pelajar sejak usia muda.
“Kementerian saya bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak polis dan juga agensi-agensi yang lain, kita akan mengadakan satu rancangan yang boleh diguna pakai untuk seluruh Sarawak dalam taman lalu lintas ini.
“Program Sarawak Traffic Games ini, tujuannya untuk mengadakan satu simulasi keadaan yang sama seperti di jalan raya kita gunakan setiap hari.
“Ini juga merupakan satu program pendidikan keselamatan jalan raya,” katanya.
Oleh Earl Anek