
MIRI: Seramai 54 anak yatim perlu nilai kasih sayang telah diraikan dalam majlis sambutan Aidilfitri di Kompleks Kebajikan Hamidah Yakup baru-baru ini.
Sambutan ini benar-benar memberikan makna yang mendalam, bukan sahaja kepada anak yatim, tetapi juga kepada semua yang hadir.
Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man berkata demikian pada sambutan Aidilfitri di Kompleks Kebajikan Hamidah Yakup baru-baru ini.
Katanya, sambutan ini bukan sekadar mengeratkan silaturahim, malah mencerminkan betapa pentingnya nilai kasih sayang, keprihatinan, dan semangat berkongsi kegembiraan dengan setiap lapisan masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan.
“Dalam setiap musim perayaan, kita perlu memastikan bahawa tiada sesiapa pun yang tertinggal daripada merasai kemeriahan dan kebahagiaan yang sepatutnya menjadi milik semua.
“Sebagai tanda sokongan dan keprihatinan, saya juga telah menyampaikan duit raya kepada semua anak-anak yatim yang hadir.
“Walaupun sumbangan ini kecil, namun saya berharap ia dapat membantu meringankan beban mereka dan membawa sinar kegembiraan di musim perayaan ini,” jelasnya.
Tambahnya, sambutan dan majlis ini penting, kerana ia adalah lambang bahawa masyarakat kita sentiasa prihatin terhadap mereka.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada pihak penganjur atas usaha murni ini.
“Program seperti ini perlu terus diperbanyakkan dan diperkasakan supaya lebih ramai golongan kurang bernasib baik di Miri dapat merasai sentuhan kasih sayang dan perhatian daripada masyarakat umum,” katanya.
Sehubungan itu, adalah diharap dan menyeru serta mengajak semua pertubuhan, syarikat, badan bukan kerajaan, institusi pendidikan, serta komuniti tempatan di Miri untuk turut sama memainkan peranan aktif dalam berkongsi rezeki dan kebahagiaan, terutamanya semasa musim-musim perayaan atau detik-detik penting lain.
“Jika lebih ramai pihak berganding bahu dan memperluaskan budaya berkongsi ini, Miri akan menjadi sebuah bandar yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi, tetapi juga kaya dengan nilai kasih sayang, empati dan solidariti.
“Marilah kita bersama-sama menjadikan amalan ini sebagai satu budaya tetap dalam membina sebuah masyarakat yang lebih penyayang dan inklusif,” katanya lagi.
Oleh Adum Liu