
KUALA LUMPUR: Lanjutan tempoh pengecualian visa antara Malaysia dan China disifatkan sebagai langkah strategik yang bukan sahaja mencerminkan hubungan dua hala yang semakin erat tetapi juga menjanjikan kerjasama rentas sektor dalam pelancongan, pendidikan dan perniagaan, kata pakar.
Penganalisis menjangkakan bahawa inisiatif itu akan memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara, sekali gus membuka ruang kepada pertukaran budaya dan akademik yang lebih mendalam.
Timbalan Pengarah Eksekutif Institut Asia-Eropah Universiti Malaya (AEI) Prof Madya Dr Roy Anthony Rogers berkata pengecualian visa ini bukan sahaja menguntungkan kerajaan dan pihak industri, malah membuka laluan kepada mengukuhkan hubungan rakyatdengan rakyat.
“Pengecualian visa akan meningkatkan aliran orang ramai, yang kita harus galakkan kerana sejak 50 tahun lalu, hubungan dua hala terlalu tertumpu kepada penglibatan kerajaan dengan kerajaan.
“Sudah tiba masanya kita memperkasa diplomasi landasan kedua dan ketiga melalui kemudahan visa ini,” katanya kepada Bernama.
Nada yang sama disuarakan oleh Pengerusi Pusat Kajian Strategik Serantau (CROSS), Lee Chean Chung, yang menyifatkan keputusan terbabit menggariskan hubungan dua hala yang teguh antara kedua-dua negara, dibentuk oleh kepercayaan dan keyakinan bersama.
Menurutnya, inisiatif itu bakal merangsang pertumbuhan ekonomi merentasi sektor seperti pelancongan, kerjasama akademik dan pelancongan kesihatan.
Langkah ini memberi peluang kepada lebih ramai warga China datang ke Malaysia – bukan sahaja pelancong, tetapi juga ibu bapa pelajar dan mereka yang mendapatkan rawatan perubatan, katanya.
“Jika lawatan terlalu singkat, interaksi jadi terbatas. Dengan masa yang lebih panjang, pengunjung dapat menyelami budaya tempatan dengan lebih mendalam,” katanya lagi.
Lee turut menyatakan bahawa perjanjian itu membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk meneroka wilayah China secara lebih meluas.
“Sebelum ini, ramai hanya sempat melawat bandar-bandar pesisir pantai. Kini, ada peluang untuk menjelajah ke kawasan pedalaman dan memahami budaya masing-masing dengan lebih menyeluruh,” katanya.
Semasa lawatan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia baru-baru ini, kedua-dua negara menandatangani 31 Memorandum Persefahaman (MoU), pertukaran nota dan perjanjian kerjasama merangkumi pelbagai sektor.
Antaranya termasuk perjanjian pengecualian visa untuk pemegang pasport diplomatik dan awam, yang ditandatangani antara Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Luar China, Wang Yi.
Pada 22 April lalu, Saifuddin mengumumkan tempoh pengecualian visa antara Malaysia dan China dilanjutkan selama lima tahun di bawah Pelan Liberalisasi Visa (PLV).
Melalui pelan itu, pelancong China boleh tinggal di Malaysia selama maksimum 90 hari tanpa visa, dan China turut memberikan keistimewaan yang sama kepada warga Malaysia. — BERNAMA