
PARIS: Remaja lelaki berusia 16 tahun yang dituduh membunuh seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di barat Perancis digambarkan sebagai seorang penyendiri yang mengagumi Adolf Hitler, menurut kenyataan pendakwa raya pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Kejadian tikaman berlaku pada Khamis di sebuah sekolah swasta Katolik di bandar Nantes.
Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut, manakala dua pelajar lain berusia 15 dan 16 tahun cedera.
Menurut Pendakwa Raya Nantes, Antoine Leroy, suspek tidak memberikan sebarang alasan selepas ditahan dan kini ditempatkan di wad psikiatri buat sementara waktu.
Katanya, remaja itu menghadiri kelas seperti biasa pada pagi kejadian, sebelum memasuki tandas sekolah sekitar tengah hari untuk memakai topeng dan membawa sebilah pisau.
Suspek kemudian memasuki sebuah bilik darjah dan menikam pelajar perempuan – yang dikatakan satu-satunya rakan yang rapat dengannya – sebanyak 57 kali hingga maut.
Suspek kemudiannya menyerang pelajar lain secara rawak di kelas berasingan.
Amukan itu dihentikan oleh seorang juruteknik IT sekolah yang bertindak pantas dengan memukul suspek menggunakan kerusi dan menahannya sehingga polis tiba.
Leroy berkata, suspek tidak mempunyai rekod jenayah atau berurusan dengan pihak berkuasa sebelum ini. Namun, ibunya pernah mendapatkan bantuan awal tahun ini disebabkan peningkatan pengasingan sosial anaknya.
Suspek turut menghadiri enam sesi kaunseling di sebuah pusat sokongan.
Pihak sekolah juga sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap kecenderungannya mengagumi Adolf Hitler, yang mencetuskan satu pertemuan antara pihak pengurusan sekolah dan ibunya awal bulan ini. — BERNAMA-dpa