
SIMANGGANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan penubuhan sebuah majlis daerah di Daerah Lingga bagi memperkukuh pentadbiran serta merancakkan lagi pembangunan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, sebagai sebuah daerah penuh, Daerah Lingga wajar ditubuhkan sebuah majlis daerah, sama seperti penubuhan tiga majlis daerah baharu di Gedong, Sebuyau dan Siburan yang dilakukan baru-baru ini.
“Keluasan pentadbiran Majlis Daerah Sri Aman terlalu besar, iaitu dari Pantu hingga ke Lingga, jadi kita berharap ada pertimbangan daripada kerajaan untuk menubuhkan sebuah majlis daerah di Lingga,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis Penghargaan dan Penyerahan Tugas Pelantikan Kaunselor Bagi Sesi 2025-2028 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, di sini semalam.
Dalam pada itu, Dayang Noorazah berkata peruntukan tahunan berjumlah RM3 juta bagi Majlis Daerah Sri Aman dilihat tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan bagi tujuan pembangunan.
“Kalau kita lihat keluasan serta jumlah penduduk, peruntukan RM3 juta itu tidak mencukupi, contohnya projek tapak pembuangan sampah kos pembinaannya sahaja berjumlah RM40,000, belum lagi kita bercerita pasal projek lampu solar.
“Bercerita pasal projek pemasangan lampu solar, saya dimaklumkan oleh pihak Majlis Daerah Betong, harga siling baharu bagi projek itu adalah sekitar RM8,000 hingga RM10,000 untuk satu tiang lampu solar.
“Kalau kerajaan tidak dapat menubuhkan sebuah majlis daerah di Lingga, sekurang-kurangnya kerajaan dapat menambah peruntukan tahunan untuk Majlis Daerah Sri Aman,” ujarnya.
Dayang Noorazah berharap ahli-ahli Majlis Daerah Sri Aman yang telah dilantik itu akan bekerjasama dalam membantu membangunkan Bahagian Sri Aman, tidak lupa juga di kawasan daerah kecil Maludam dan kawasan DUN Lingga yang lainnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Lingga, Malita Kasi adalah merupakan wanita pertama telah dilantik sebagai Kaunselor iaitu Ahli Majlis Daerah Sri Aman bagi PBB di bahagian itu.
Dayang Noorazah berharap Malita dapat menjalankan tugas dan amanah yang diberikan sebagai wanita pertama daripada PBB menjawat jawatan sebagai ahli majlis di Daerah Sri Aman.
“Cabaran untuk wanita menjadi kaunselor atau pemimpin peringkat akar umbi ini sangatlah tinggi, saya mahu beliau (Malita) buktikan kepada masyarakat di Bahagian Sri Aman ini, wanita boleh jadi kaunselor, wanita juga boleh jadi pemimpin, wanita juga boleh jadi tuai rumah,” tambahnya.
Majlis tersebut diadakan adalah bagi meraikan seramai lapan ahli PBB dari sekitar Daerah Sri Aman dan Lingga yang telah dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Sri Aman baru-baru ini.
Antaranya ialah Anthony Abell Chendan (Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman), Suhaidi @Roslan Los (Timbalan Ketua Cawangan PBB Lingga), Abdul Hisham Ahmad, Dauglas Kambing, Majing Rimbau, Douglas Pasang, Malita Kasi dan Bakri Eni.
Turut hadir Pegawai Khas dari Pejabat Premier Sarawak Datuk Bujang Helmi Hazmi, Temenggung Mohamad Shah Achang, Pemanca Abang Norin Abang Norudin, Ketua Pemuda PBB Lingga, Abdul Rahim Jamil dan Ketua Wanita PBB Lingga, Sapiah Drahman.
Oleh Adi Saparman