
BINTULU: Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah motosikal lain di persimpangan lampu isyarat Paragon, di sini malam tadi, dipercayai akibat melanggar lampu isyarat merah.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali, berkata kejadian berlaku sekitar 11.49 malam dan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda yang ditunggang mangsa serta sebuah Yamaha RXZ yang ditunggang lelaki tempatan lain, juga berusia sekitar 30-an.
“Siasatan awal mendapati motosikal Honda datang dari arah Pasar Lama Bintulu menuju ke Jalan Sultan Iskandar, manakala Yamaha RXZ datang dari arah Parkcity menuju ke Kampung Baru.
“Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) milik pengguna jalan raya menunjukkan motosikal Honda telah melanggar lampu isyarat merah sebelum bertembung dengan Yamaha RXZ yang sedang melalui laluan hijau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua penunggang dibawa ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut, namun penunggang motosikal Honda disahkan meninggal dunia kira-kira 1.00 pagi ketika dirawat di Zon Merah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sehubungan itu, katanya lagi, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Lydia Allan di Balai Trafik Bintulu menerusi talian 086-338575 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu di 086-318304.
Oleh Carolyne Utih