
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menyaksikan Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan oleh Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) yang berlangsung di Astana Negeri Sarawak, pagi ini.
Jurucakap Astana Negeri Sarawak menerusi satu kenyataan memaklumkan pada majlis tersebut, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Bintulu, Dato Sharkawi Alis menyerahkan zakat perniagaan LPB bagi 2025 berjumlah RM2,000,000 kepada Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Datu Abg Mohd Shibli Abg Mohd Nailie.
“Penyerahan ini disaksikan oleh Tun Wan Junaidi, dan Toh Puan, sebelum majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Timbalan Ketua Sektor Operasi TBS Al-Fadhil Ustaz Mohd Yusree Mohammad Zain.
“Majlis ini mencerminkan komitmen tinggi LPB dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat, serta menyumbang ke arah pembangunan sosioekonomi ummah, seiring dengan usaha memperkukuh hubungan strategik antara sektor korporat dan institusi agama di Sarawak,” kata jurucakap tersebut.
Tun Wan Junaidi dalam ucapannya menzahirkan harapan agar sumbangan zakat daripada pelbagai agensi di Sarawak diuruskan dengan telus dan berkesan, demi memberi manfaat besar kepada masyarakat Islam, khususnya golongan asnaf, anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan bantuan.
Semoga jalinan kerjasama erat antara sektor korporat, agensi kerajaan dan Tabung Baitulmal Sarawak akan terus menyumbang kepada pelaksanaan lebih banyak program kebajikan demi kesejahteraan rakyat negeri ini.
Turut hadir dalam delegasi ialah Pengurus Besar LPB Mizool Amir Mat Drus, Penolong Pengurus Besar (Operasi) Kapt Zakhir Khan Yusoff, Pengurus Kanan (Pentadbiran, Kewangan, Perolehan & Aset) Hida Jerman, Pengurus Kanan (Undang-Undang) Norkartiny Nawawi, Pengurus (Kewangan) Noraziah Jaimin, serta Pegawai (Marin) Awang Saffarudin Awang Saifudin.