
PETRA JAYA: Sarawak mencatat pencapaian cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, dengan merekodkan keputusan terbaik dalam tempoh 11 tahun, menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli.
Beliau berkata, berbanding keputusan SPM 2023, prestasi pelbagai mata pelajaran teras menunjukkan peningkatan.
Antara yang mencatat lonjakan, ujarnya, ialah Bahasa Inggeris (peningkatan 0.18 mata), Bahasa Melayu (0.17), Pendidikan Islam (0.16), Sains (0.14) dan Matematik (0.05).
“Gred Purata Negeri (GPN) turut menunjukkan peningkatan apabila mencatat 4.84 pada tahun ini berbanding 4.92 pada 2023, menjadikannya keputusan terbaik sejak 11 tahun lalu,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan SPM 2024 peringkat Sarawak di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 4, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Jalan Diplomatik Off Jalan Bako, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Sebanyak 821 daripada 30,341 calon memperoleh keputusan semua A dalam setiap mata pelajaran yang diduduki.
Mata pelajaran elektif aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga menunjukkan peningkatan. Antara yang mencatat peningkatan ialah:
- Sains Tulen: Kimia (0.40), Fizik (0.16), Matematik Tambahan (0.14), Biologi (0.07)
- Sains Gunaan dan Teknologi: Lukisan Kejuruteraan (0.68), PKEE (0.64), Pertanian (0.22), SRT (0.19), Sains Tambahan (0.12), GKT (0.08), Sains Sukan (0.07)
- Mata Pelajaran Vokasional (MPV): Kimpalan Arka dan Gas (0.64), Produksi Multimedia (0.42), Kerja Paip Domestik (0.32), Produksi Reka Tanda (0.32), Menservis Pendawaian Elektrik (0.12), Penjagaan Muka dan Penata Rias (0.10), Tanaman Makanan (0.04)
Aliran Kemanusiaan dan Sastera Ikhtisas turut menunjukkan perkembangan positif, dengan peningkatan dalam mata pelajaran seperti Prinsip Perakaunan (0.26), Pendidikan Muzik (1.68) dan Ekonomi (0.21).
Sementara itu, aliran Pengajian Islam mencatat pencapaian membanggakan menerusi mata pelajaran seperti Manahij Al-Ulum Al-Islamiah, Al-Adab Wa Al-Balaghah, Hifz Al-Quran, Tasawwur Islam, Pendidikan Syariah Islamiah dan Bahasa Arab.
Menurut Omar, GPN digunakan sebagai indikator pencapaian keseluruhan calon, dengan nilai lebih rendah menunjukkan prestasi yang lebih baik.
Beliau turut memaklumkan bahawa kadar kelayakan menerima sijil SPM juga meningkat kepada 94.11 peratus (30,341 calon), berbanding 93.15 peratus (30,356 calon) pada tahun lalu.