
BINTULU: Isu limpahan kumbahan yang berlarutan di sekitar Pusat Komersial J5 dan Peace Village kini semakin meruncing, mencetuskan desakan agar tindakan segera diambil demi kesihatan awam dan kelangsungan perniagaan setempat.
Masalah yang menjejaskan empat lokasi utama ini bukan sahaja menyebabkan bau busuk yang meluas, malah aliran kumbahan terbuka turut mengganggu kehidupan harian penduduk dan operasi perniagaan di kawasan berkenaan.
Prihatin terhadap keadaan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming mengadakan lawatan tapak bersama pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak (SSD) Bahagian Bintulu serta pasukan Pusat Khidmat DUN bagi meneliti situasi sebenar.
“Ini bukan sekadar gangguan sementara. Ia membahayakan kesihatan awam, mencemarkan alam sekitar, dan memberi tekanan besar kepada peniaga yang bergantung pada kehadiran pelanggan harian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Kelewatan Akibat Kontraktor Gagal Laksana Tugas
Menurut beliau, punca utama kelewatan kerja pembaikan adalah kegagalan kontraktor terdahulu menyiapkan projek mengikut jadual.
“Pihak SSD kini sedang dalam proses membuka tender baharu untuk melantik kontraktor gantian. Namun, kami menggesa agar proses ini dipercepatkan agar penduduk tidak terus menunggu terlalu lama,” tegasnya.
Penyelesaian Sementara Diperlukan
Johnny turut mencadangkan agar penyelesaian sementara dipertimbangkan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh penduduk dan pemilik perniagaan.
“Kelangsungan perniagaan kecil dan kesejahteraan penduduk tidak boleh dikompromi hanya kerana kelewatan teknikal dan pentadbiran.
“Semua agensi berkaitan perlu mempercepatkan koordinasi serta mengambil pendekatan proaktif untuk menyelesaikan isu ini secara menyeluruh,” tambah beliau.
Oleh Carolyne Utih