KUCHING: Peningkatan kes Covid-19 di Sarawak dianggap sebagai permulaan kepada gelombang kedua Covid-19, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurutnya, ini kerana selepas tempoh tertentu jumlah jangkitan Covid -19 di negeri agak rendah, tetapi sekarang Sarawak beralih kepada peningkatan jumlah kes baharu.
“Mari kita menganggapnya sebagai gelombang kedua dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) untuk bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan tersebut.
“Pada hari Isnin ini mereka akan memaklumkan kita kedudukan peraltan perlindungan diri (PPE) yang ada di semua hospital di seluruh Sarawak, supaya kita semua bersedia dan mempunyai kelengkapan.
“Jika tidak mencukupi, maka kita akan membelinya untuk menyediakan diri serta telah meminta JKNS untuk bersedia dengan barisan hadapan mereka seperti menjalani ujian Covid-19, supaya mereka bersedia dan selesa menjalankan tugas apabila sudah disahkan negatif,” katanya.
Uggah yang juga Pengerusi JPBNS berkata demikian pada sidang media perkembangan Covid-19 di Dewan Undangan Negeri Lama di sini, semalam.
Tambahnya, pihaknya juga akan terus melakukan ujian rawak dan sudah melakukan di beberapa pasar awam di Sarawak.
“Tidak lama lagi kita akan melakukan ujian keatas para guru taska dan tabika termasuk sekolah kerana mereka ini juga sudah beroperasi, dan mungkin juga ke rumah-rumah orang tua serta kawasan yang sensitif dan pihak hospital juga melakukan ujian keatas pesakit Severe Acute Respiratory Infection (SARI).
“JPBNS sentiasa merancang dan bergerak di hadapan wabak ini, kita juga menasihatkan pihak klinik-klinik untuk melakukan ujian swap keatas pesakit yang mengalami batuk, asma dan SARI,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk tidak takut menjalani ujian rawak yang dijalankan ihak JKNS ketika mereka melalukan pemeriksaan rawak di sesuatu tempat.
“Kita ingin menemu duga orang ramai atau penjual di situ, kalau mereka sebagai kontak rapat, kita akan memberi saringan kepada mereka, jadi jangan takut kepada saringan kerana ia adalah untuk diri sendiri dan percuma.
“Jadi apabila anda tahu situasi kesihatan selepas saringan, sudah tentu akan berasa lega, tetapi jika sebaliknya dan pesakit positif sudah melawat tempat anda, sudah tentu anda berasa risau,” katanya lagi.
Oleh Zarina Abdullah