
KUCHING: Sarawak kekal komited melaksanakan agenda pembangunan yang berteraskan kelestarian alam sekitar meskipun sedang melangkah ke arah kemajuan pesat, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg.
Menurut Abang Johari, penjagaan alam sekitar bukan sahaja penting untuk menjamin kelangsungan ekosistem, tetapi turut berperanan besar dalam merancakkan sektor pelancongan negeri.
“Alam sekitar dan pelancongan adalah dua elemen yang saling berkait. Oleh itu, usaha memelihara kawasan hutan, taman negara serta habitat semula jadi perlu dipertingkat agar nilai biodiversiti negeri ini dapat dikongsi bersama dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Ke-33 Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) yang berlangsung di Hotel Sheraton Kuching, hari ini.
Abang Johari turut menegaskan bahawa pemuliharaan alam sekitar adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh Kerajaan Sarawak dalam memelihara warisan budaya negeri demi manfaat generasi akan datang.
Tambah beliau, kerajaan negeri memberi tumpuan terhadap pembangunan tenaga boleh diperbaharui termasuk hidrogen, solar dan hidro, sebagai sebahagian daripada strategi memastikan kelestarian jangka panjang.
“Pendekatan ini telah meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam inisiatif Grid Kuasa ASEAN, sebagaimana diiktiraf oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada masa ini, Sarawak turut membekalkan tenaga kepada Sabah dan beberapa wilayah di Indonesia,” ujarnya.
Beliau turut mendedahkan bahawa Sarawak kini menjalin kerjasama strategik dengan Brunei Darussalam dan Singapura bagi pembekalan tenaga elektrik merentas sempadan.
Inisiatif berterusan ini, jelas beliau, mencerminkan usaha Sarawak untuk menjadi model dalam pembangunan mampan, selaras dengan matlamat serantau dan global bagi mencapai keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan perlindungan alam sekitar.
Oleh Amanda L.