
KUALA LUMPUR: Setelah tiga tahun usaha pembikinannya diumumkan, filem aksi adiwira tempatan yang dinanti-nantikan, Keluang Man, mengeluarkan treler rasminya semalam, sekali gus menambah keterujaan peminat siri animasi itu menjelang tayangannya di pawagan seluruh negara pada 29 Mei ini.
Filem arahan Anwari Ashraf itu bukan sahaja memaparkan dunia Keluang Man versi moden, namun turut memasukkan elemen aksi mendebarkan serta visual sinematik berkualiti tinggi yang tentu dapat meraih perhatian bukan sahaja peminat setia, malah generasi penonton yang baharu.


PELAKON, Nas Muammar Zar atau Nas-T (kiri) dan Pelakon, Halim Othman (kanan) pada majlis pelancaran treler rasmi filem Keluang Man di Aurum Theatre, TRX semalam.
Penerbit Eksekutif Keluang Man yang juga Ketua Astro Shaw Raja Jastina Raja Arshad berkata sejak projek filem ini diumumkan tiga tahun lalu, pelbagai usaha telah digerakkan bagi menjayakannya.
“Kami teruja untuk memperkenalkan adiwira ikonik Malaysia ini dengan cara yang memberi impak merentasi pelbagai platform.
“Antaranya kerjasama strategik bersama Kopi Wonda, kemunculan sulung Keluang Man dalam sut lengkap semasa sambutan Hari Kemerdekaan ke-67 serta mural gergasi di Kluang, Johor,” katanya pada majlis pelancaran treler rasmi filem itu, di sini, semalam.

Beliau berkata Keluang Man bukan sekadar sebuah filem, tetapi permulaan kepada semesta sinematik tempatan yang menyatukan elemen hiburan, komersial dan warisan tempatan.
Filem arahan Anwari Ashraf itu menampilkan barisan pelakon terkenal antaranya Nas Muammar Zar atau Nas-T, Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Halim Othman, Amelia Henderson, Sham Sunder, Dennis Yin dan ramai lagi.
Siri animasi Keluang Man yang diilhamkan Kamn Ismail pula disiarkan di kaca televisyen sebanyak tujuh siri dengan 140 episod dalam tempoh 1998 hingga 2005. – Bernama