
TATAU: Penempatan pedalaman Nanga Tau berpotensi untuk diangkat sebagai daerah kecil menerusi pelan pembangunan menyeluruh yang sedang dirangka oleh Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Bintulu (BIRDCOM).
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus berkata, cadangan tersebut telah dibentangkan hasil beberapa siri rundingan, bengkel dan sesi libat urus bersama pihak yang berkaitan.
“Tatau merupakan kawasan yang besar. Jadi, selepas kita menubuhkan BIRDCOM di bawah Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), agensi ini telah mengadakan rundingan serta bengkel, dan salah satu cadangan saya sebagai ADUN Kakus adalah untuk menjadikan Nanga Tau sebagai daerah kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Jangkauan Luar MLNG Bestari di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Tau, Sungai Anap di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pelbagai infrastruktur dirancang bagi menyokong pembangunan daerah kecil tersebut.
Antaranya pembinaan pejabat daerah kecil, sekolah rendah dan menengah, klinik kesihatan, pasar serta perumahan untuk penduduk setempat.
Selain itu, dua projek turut dicadangkan untuk dilaksanakan di kawasan berkenaan iaitu skim ternakan babi dan penanaman padi berskala besar yang meliputi kawasan sekitar Nanga Tau hingga ke Ulu Kakus.
“Skim ternakan babi yang sebelum ini dirancang di Samarakan dipindahkan ke Nanga Tau, manakala satu kajian sedang dijalankan untuk membangunkan skim penanaman padi secara besar-besaran bermula dari kawasan ini,” jelasnya.
Beliau berkata kerajaan juga mencadangkan pembinaan jalan dari simpang kem ke Nanga Tau dan seterusnya ke Ulu Kakus dengan kos dianggarkan sebanyak RM225 juta bagi memperkukuh jaringan perhubungan dan menyokong pembangunan kawasan luar bandar.
Beliau menyeru penduduk agar terus memberikan sokongan dan kerjasama kepada kerajaan dalam merealisasikan pelan pembangunan yang bakal membawa perubahan besar kepada komuniti luar bandar.
Oleh Carolyne Utih