
SIBU: Seorang lelaki berumur 35 tahun maut dipercayai tertembak ketika berburu bersama rakannya di kawasan kebun kelapa sawit, Pasai Siong Tengah, sekitar 4.34 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, sehubungan itu, tangkapan telah dijalankan terhadap seorang lelaki berusia 38 tahun dan permohonan ke atas tangkapan mulai 22 hingga 27 April ini.
“Semasa kejadian, mangsa bersama rakannya memburu di kawasan ladang sawit tersebut dan semasa ditemui terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat tembakan senjata api. Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian.
“Punca kejadian masih lagi dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mandatori,” katanya menerusi siaran media, petang tadi.
Katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis.
“Sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kes ini disarankan agar tampil memberi maklumat kepada pegawai penyiasat kes ASP Mohd Adzmei Ahmad di talian 016-8095757 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Oleh Akun Giman