
KUALA LUMPUR: Penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) kelmarin mengukuhkan daya tahan Malaysia dalam pasaran serantau yang semakin kompetitif, dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar melebihi AS$5.6 trilion (AS$1 = RM4.38) dan jumlah penduduk lebih 700 juta.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan Malaysia serta negara anggota ASEAN, Australia dan New Zealand menyambut baik penambahbaikan itu, yang menandakan pencapaian penting dalam komitmen Malaysia untuk memajukan integrasi ekonomi yang inklusif, berdaya tahan dan mampan.
“Protokol kedua dijangka mengurangkan kos transaksi, menyokong pendigitalan perdagangan, meningkatkan daya tahan rantaian bekalan, dan membuka peluang baharu dalam perdagangan dan pelaburan mampan,” tambah MITI dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
MITI memaklumkan AANZFTA telah menjadi bahagian penting dalam strategi perdagangan serantau Malaysia sejak perjanjian itu berkuat kuasa pada 2010.
“Usaha memanfaatkan perjanjian itu oleh pengeksport Malaysia telah menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan selama ini.
“Nilai eksport meningkat dua kali antara 2016 hingga 2023, daripada RM5.8 bilion kepada RM12.9 bilion,” jelasnya.
Terdapat minat dan momentum yang berterusan dalam kalangan perniagaan Malaysia untuk memanfaatkan AANZFTA dan meletakkan kedudukan mereka lebih baik untuk meraih faedah daripada perjanjian yang ditambah baik itu terutama apabila mereka menyesuai dengan keadaan global yang semakin berubah.
“Berdasarkan protokol kedua yang kini berkuat kuasa, perjanjian yang ditambah baik itu memperkenalkan penambahbaikan bermakna merentas 13 bab sedia ada termasuk Peraturan Asal, Prosedur Kastam dan Pemudahan Perdagangan, Persaingan dan Perdagangan Elektronik.
“Ia juga termasuk bab baharu mengenai perdagangan dan pembangunan mampan; perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dan pemerolehan kerajaan,” jelasnya.
MITI menjelaskan Malaysia menghargai sokongan berterusan dari Australia dan New Zealand melalui inisiatif Perdagangan Serantau untuk Pembangunan (RT4D) AUD48.7 juta, yang berperanan penting dalam menyalurkan manfaat AANZFTA dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) kepada masyarakat di seluruh negara.
Malaysia kekal komited terhadap pelaksanaan penuh dan berkesan perjanjian yang ditambah baik itu, dan MITI akan terus bekerjasama rapat dengan peserta industri khususnya PMKS untuk memastikan perniagaan berkedudukan baik untuk memaksimumkan manfaat daripada peruntukan yang dipertingkatkan itu, tambah MITI. – Bernama