
PEMILIHAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan suatu bentuk reformasi perubahan tidak seperti sebelum ini.
Sistem pemilihan kepimpinan pusat PKR kini memanfaatkan sistem undi perwakilan berbanding kaedah satu anggota satu undi sebelum ini.
Pembaharuan ini dikritik dan perubahan ini dianggap menjejaskan prinsip demokrasi dalam PKR.
Hal ini kerana keputusan pemilihan ditentukan perwakilan terpilih, dan bukannya daripada keseluruhan anggota di akar umbi.
Bermakna prinsip satu anggota satu undi tidak lagi digunakan dalam pemilihan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR.
Baru-baru ini ramai pemimpin terkenal bahagian PKR gagal mempertahankan jawatan mereka.
Ahli parti didapati memilih calon kurang dikenali dalam pemilihan cabang.
Antaranya yang tewas ialah Nik Nazmi Nik Ahmad, Naib Presiden PKR, Menteri Persekutuan dan Ahli Parlimen dua penggal yang gagal mempertahankan jawatan sebagai Ketua PKR Setiawangsa.
Beliau tewas kepada pelakon dan pelawak, Afdlin Shauki yang menyertai PKR kira-kira empat tahun lalu.
Selain itu setakat ini, dua daripada tujuh nama besar termasuklah timbalan menteri, seorang bekas timbalan menteri, seorang ketua PKR negeri, beberapa Ahli Parlimen dan pemimpin bahagian termasuk Akmal Nasir, Adam Adli, Rodziah Ismail, Bakhtiar Wan Chik, Rizal Jamin, R Yuneswaran, dan P Prabakaran.
Di Sabah, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Christina Liew, hilang jawatan Ketua Cabang Kota Kinabalu, di Kota Marudu, Setiausaha PKR Sabah, Sazalye Donol, turut tewas pertahankan jawatan.
Timbalan Ketua PKR Sabah, Raymond Ahuar, juga gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Pensiangan.
Pemilihan PKR yang sedang berlangsung kini memperlihatkan beberapa perkembangan penting yang wajar dianalisis dari sudut akar umbi, hala tuju parti, dan pengaruh kepimpinan semasa.
Isyarat akar umbi
Kegagalan beberapa wakil rakyat dan pemimpin kanan dalam pemilihan cabang menunjukkan bahawa akar umbi sedang menghantar mesej jelas – mereka mahu perubahan dalam gaya kepimpinan dan pendekatan politik.
Ini dilihat menandakan ketidakpuasan terhadap wakil rakyat yang dianggap terlalu elitis, kurang turun padang, atau tidak berjaya membawa impak besar di kawasan masing-masing.
Akar umbi kini mahukan pemimpin yang lebih mendengar suara mereka dan mendekati isu rakyat secara langsung.
Tambahan pula, ada kecenderungan bahawa akar umbi ingin mengembalikan semangat reformasi tulen yang diketepikan selepas penyertaan PKR dalam Kerajaan Perpaduan.
Boleh juga dibaca sebagai suatu usaha cuba membawa kembali perjuangan parti yang lebih idealisme dari kaca mata akar umbi.
Kesan terhadap pemilihan pusat
Keputusan di peringkat cabang akan sedikit sebanyak mempengaruhi sentimen dan kecenderungan semasa menuju ke pemilihan pusat bulan depan.
Walaupun tidak semestinya mencerminkan keputusan akhir, ia boleh menjadi petunjuk awal bahawa penyokong-penyokong tegar di peringkat akar sedang mempersiapkan perubahan struktur dalaman parti.
Selain itu, beberapa cabang penting yang selama ini dianggap sebagai kubu kuat pemimpin tertentu kini menunjukkan perubahan kecenderungan, yang membayangkan akan berlakunya anjakan dalam paksi kuasa dalaman parti.
Ini akan memberi kesan besar kepada barisan kepimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan strategi parti menjelang PRU16.
Kegagalan pemimpin Pro-Rafizi
Beberapa pemimpin yang dikaitkan dengan ‘Team Rafizi’ turut mengalami kekalahan di cabang.
Ini boleh ditafsir sebagai:
Pertama, satu penolakan terhadap gaya politik reformis yang mungkin dilihat terlalu idealistik atau kurang pragmatik pasca PRU15.
Kedua, ini dilihat menandakan kelemahan dalam jentera politik pasukan Rafizi sendiri, yang gagal menyesuaikan naratif perubahan dengan realiti semasa di peringkat akar umbi.
Ketiga, kegagalan ini juga boleh dilihat sebagai kegagalan dalam memenuhi janji-janji selepas Rafizi menang jawatan Timbalan Presiden – seperti isu pengaruhnya dalam Kerajaan Perpaduan dan keberkesanan beliau dalam mengurus komunikasi politik PKR.
Keempat, menunjukkan bahawa wujudnya keletihan akar umbi terhadap retorik perubahan yang tidak diiringi dengan hasil nyata, khususnya dalam bidang ekonomi, kos sara hidup, dan pembelaan isu rakyat bawahan – yang menjadi nadi kekuatan asal PKR sejak penubuhannya.
Pensejajaran semula
Ternyata pemilihan kali ini menunjukkan PKR sedang melalui proses realignment dalaman – iaitu terdapat jurang antara kepimpinan pusat dengan realiti dan aspirasi akar umbi.
Jika pucuk pimpinan tidak mengambil isyarat ini secara serius, PKR berisiko berdepan perpecahan dalaman atau kehilangan kepercayaan dari penyokong tradisinya, terutama menjelang PRU akan datang.
Rafizi sendiri perlu menilai semula pendekatan politiknya – dari segi strategi komunikasi, pengurusan parti, dan peranan dalam kerajaan – supaya tidak dilihat sebagai simbol kegagalan reformasi yang pernah dijanjikan.
Tambahan pula, pemilihan ini membuka ruang kepada kemunculan pemimpin generasi baharu di peringkat akar yang lebih memahami keperluan rakyat setempat, bebas daripada beban sejarah dalaman parti, dan berupaya menawarkan penyelesaian yang lebih praktikal dan inklusif.
Jika dimanfaatkan dengan baik, ini akan mampu menyegarkan kembali kekuatan asas PKR yang berteraskan suara rakyat dan semangat perubahan.
Langkah ke depan
PKR perlu memastikan parti terus ke hadapan selepas keputusan pemilihan cabang yang mengejutkan ini adalah penting demi survival politik dan kredibiliti jangka panjang parti.
Beberapa strategi konkrit dan kritikal boleh dilakukan termasuk melakukan ‘post-mortem’ menyeluruh dan jujur.
Audit dalaman pasca-pemilihan cabang, bukan sekadar dari segi teknikal pengundian, tetapi juga menganalisis faktor ramai wakil rakyat dan pemimpin gagal.
Perlu juga mendengar suara akar umbi secara telus yang mungkin isu terpisah (disconnect) antara pimpinan nasional dan akar umbi perlu ditangani segera.
Pemilihan kali ini membuktikan bahawa struktur cabang adalah nadi sebenar parti.
Maka reformasi organisasi dan pemerkasaan cabang perlu dilakukan termasuk keperluan meningkatkan peranan dan sumber kepada cabang dan AMK/Wanita untuk melaksanakan program akar umbi.
Selain mengurangkan budaya top-down dalam membuat keputusan dan galakkan penglibatan dua hala, dan perlu mewujudkan platform rasmi untuk maklum balas cabang disalurkan kepada kepimpinan pusat.
Penjenamaan dan penyatuan
Yang ketiga ialah keperluan penjenamaan semula kepimpinan dan naratif politik dan menilai semula persepsi kewujudan kem elit dalam parti agar tidak dijauhi akar umbi.
Usaha memposisikan semula imej kepimpinan sebagai lebih inklusif, merakyat, dan bukan eksklusif atau terlalu teknokratik.
Naratif baharu yang lebih dekat dengan denyut nadi rakyat – terutama generasi muda dan pengundi bandar luar KL yang semakin menjauh.
Terdapat juga keperluan penyatuan dalaman.
Strategi ini penting bagi mengelak perpecahan antara ‘kem Anwar’, ‘kem Rafizi’, dan ‘kem reformis lama’.
Apa-apa keputusan besar perlu dirunding bersama.
Pemilihan ini penting sebagai asas pembinaan perpaduan baru, bukan medan membalas dendam.
Sebenarnya rakyat sedang menilai bukan sekadar kepimpinan parti, tetapi kredibiliti PKR dalam Kerajaan Perpaduan.
Wakil rakyat perlu kembali ke kawasan dengan program konkrit: bantuan sosial, dialog komuniti, pembangunan ekonomi mikro.
Perlu ada indek prestasi dalaman untuk Ahli Parlimen dan ADUN PKR – siapa gagal, tidak dicalonkan semula atas tema memfokus prestasi kerajaan dan wakil rakyat.
Kehausan
Kekalahan tokoh-tokoh besar di cabang menunjukkan kehausan terhadap pemimpin baharu, maka perlu pelan pengkaderan kepimpinan baharu dengan perkenalkan pelan pelapis untuk bakat muda, profesional muda, aktivis NGO untuk dijadikan calon pelapis.
Penggunaan wadah AMK dan Wanita penting untuk bentuk kepimpinan baharu, bukan hanya alat untuk sokong pemimpin sedia ada.
Dalam konteks komunikasi politik dan media baharu, PKR masih belum menguasai naratif di media sosial dan tidak menyerlah berbanding Perikatan Nasional.
Kewujudkan unit komunikasi strategik digital dengan pengaruh besar di TikTok, YouTube, Instagram adalah diperlukan untuk memfokuskan mengenai naratif rakyat, bukan naratif birokratik atau teknokratik semata-mata
Rumusan
PKR sedang melalui proses pembersihan dalaman secara organik.
Jika ditangani secara positif, ini boleh menjadi peluang terbaik untuk memulihkan semangat reformasi dan mengembalikan kekuatan akar umbi.
Yang diperlukan ialah keberanian politik untuk berubah, merendah diri mendengar, dan bijak menyusun semula kekuatan untuk masa depan politik yang lebih segar.
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).