
SRINAGAR (Jammu dan Kashmir): Beberapa orang dikhuatiri terbunuh manakala ramai yang lain cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah sekumpulan pelancong di Wilayah Kashmir yang ditadbir India semalam, menurut sumber polis kepada Anadolu Ajansi (AA).
Polis dan pentadbiran wilayah menyifatkan insiden di destinasi pelancongan Pahalgam di selatan Kashmir itu sebagai antara serangan paling buruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Kawasan itu menarik ribuan pelawat setiap tahun termasuk dari luar negara.

Seorang pegawai polis yang enggan namanya disiarkan memberitahu Anadolu, jumlah korban masih belum dapat disahkan, namun ramai dipercayai terbunuh dalam serangan yang disifatkannya sebagai “kejam dan tidak berperikemanusiaan.”
Ketua Menteri Omar Abdullah menyifatkan serangan terhadap pelancong itu sebagai suatu “tindakan kebencian”.
“Pihak yang melakukan serangan ini, tidak berperikemanusiaan dan wajar dikecam,” katanya di media sosial sambil memaklumkan yang angka sebenar kematian masih dalam proses pengesahan.
Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah berkata beliau sudah memaklumkan Perdana Menteri Narendra Modi mengenai serangan itu dan mengadakan mesyuarat bersama pegawai keselamatan. Beliau dijangka melawat wilayah bergolak itu.
Amit Shah turut menegaskan mereka yang terlibat dalam “tindakan keganasan keji ini tidak akan terlepas, dan kerajaan akan mengambil tindakan paling tegas terhadap dalang serangan.”
Wilayah Himalaya itu yang dituntut sepenuhnya tetapi ditadbir berasingan oleh India dan Pakistan, lama berada di dalam kancah keganasan sejak pemberontakan bersenjata menentang India bermula pada 1989.
Bagaimanapun, serangan terhadap pelancong jarang berlaku.
Jun lepas, sebuah bas yang membawa penziarah Hindu diserang, menyebabkan ia terjunam ke dalam gaung dan mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang.
India membatalkan status khas Kashmir pada 2019 dan membahagikan wilayah itu kepada dua wilayah persekutuan – Jammu dan Kashmir, serta Ladakh. – Bernama – Anadolu