KUCHING: Kerajaan Sarawak akan meminda Ordinan Biodiversiti Sarawak bagi membolehkan penyelidikan dan komersialisasi hasil kajian biodiversiti dijalankan secara lebih berkesan di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pindaan tersebut penting bagi memaksimumkan potensi komersial bahan biodiversiti tempatan, termasuk melalui kerjasama strategik dengan pihak berkuasa yang sah.
“Di bawah ordinan sedia ada, Pusat Kepelbagaian Biologi Sarawak (SBC) tidak dibenarkan menjalankan sebarang aktiviti komersial.
“Saya telah memutuskan agar ordinan ini dipinda supaya penyelidikan dan usaha komersialisasi boleh dilaksanakan, dan hasilnya dapat dikongsi dengan dunia,” katanya semasa merasmikan Vision With Action For Biodiversity: Policy and Plan di Hotel Imperial, hari ini.
Menurut beliau, antara bidang penyelidikan yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan termasuk kajian terhadap alga yang berupaya menghasilkan bahan api bio, termasuk Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).
“Jika alga ini mampu menghasilkan biofuel dan menjadi SAF, kita bukan sahaja menyumbang kepada industri penerbangan dengan bahan api mesra alam, malah turut membantu mengurangkan pelepasan karbon dari pesawat,” jelas beliau.
Tambahnya, langkah ini juga sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab, serta memperkukuh pendekatan pembangunan ekonomi berasaskan alam semula jadi.
Dalam ucapannya, Premier Sarawak turut berkongsi penemuan terbaharu mengenai sejenis pokok asli dikenali sebagai Kalapaya, yang memiliki kadar pertumbuhan pesat dan tekstur kayu lebih baik berbanding akasia.
Pokok ini, katanya, berpotensi digunakan dalam penghasilan biojisim untuk menjana tenaga hibrid menggunakan campuran biojisim, gas dan hidrogen.
“Malah, dengan campuran hidrogen dan karbon, kita boleh hasilkan gas sintetik. Semua ini memerlukan dasar yang sesuai dan penting untuk Sarawak mencapai piawaian ESG (Environmental, Social, Governance),” ujarnya lagi.
Beliau menegaskan bahawa dasar dan pelan tindakan biodiversiti Sarawak perlu merangkumi aspek ekonomi, kemakmuran, keterangkuman dan kelestarian alam sekitar.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn; Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Abdullah Julaihi, serta Wakil Residen UNDP ke Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Edward Vrkíc.