
KOTA SAMARAHAN: Kes kucing yang dikatakan dibunuh dengan kejam sebenarnya mati disebabkan faktor alam, dan bukannya akibat penganiayaan.
Perkara ini dinyatakan oleh pihak Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SSPCA) dalam sidang media hari ini.
Menurut Penasihat Undang-Undang Unimas, Mavis Goh, siasatan dalaman telah dilakukan oleh pihak keselamatan universiti itu dan laporan rasmi telah diserahkan kepada pihak polis Kota Smarahan untuk tindakan lanjut.
Katanya, tiada sebarang fakta disembunyikan berhubung kematian seekor kucing di Kolej Kediaman Allamanda dengan siasatan dalaman yang telah dijalankan dan laporan rasmi telah diserahkan kepada pihak polis oleh pihak Unimas.
“Semua maklumat dan perincian berkenaan gambar tersebut, serta kejadian-kejadian yang berlaku, kami serahkan kepada pihak polis untuk diambil tindakan terlebih dahulu.
“Kucing tersebut telah ditemui pada 16 April 2025, namun laporan rasmi hanya dibuat pada 18 April 2025 apabila seorang pelajar dari Exco Kebajikan Pelajar menjumpai bangkai tersebut,” katanya.
Beliau berkata kes itu juga diserah kepada pihak veterinar untuk membuat keputusan selanjutnya berkaitan punca sebenar kematian kucing tersebut.
“Gambar (kucing) sedikit berbeza, tetapi kami serahkan kepada pihak polis untuk mengenal pasti objek tersebut.
“Sebenarnya, kami sudah menerima banyak reaksi. Bukan sahaja daripada masyarakat umum, malah kebanyakan pelajar juga. Kami cuba untuk mengelakkan spekulasi kerana ini boleh memberi impak kepada pelajar itu sendiri.
“Kami berharap orang ramai akan mempertimbangkan bahawa Unimas adalah sebuah institusi pendidikan. Pelajar datang ke sini untuk belajar. Jadi apabila isu ini menjadi viral, spekulasi yang tular memberi kesan kepada emosi dan psikologi pelajar. Mereka datang ke sini untuk menuntut ilmu,” tambahnya.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Ts Ir Dr Al-Khalid Othman menjelaskan bahawa siasatan awal yang dijalankan oleh polis mendapati kucing tersebut sudah pun mati sebelum laporan dibuat.
“Siasatan awal telah dilakukan oleh polis bagi pihak Unimas. Maklumat awal yang kami terima daripada sesi pertama menyatakan bahawa kucing itu sudah mati sebelum laporan dibuat.
“Tindakan ini tercetus akibat cerita viral yang telah dikongsi oleh seseorang, dan juga tindakan NGO serta pihak polis yang ingin melakukan siasatan.
“Walaupun kami sudah mendapatkan pengesahan, namun kami masih kekal dengan siasatan seterusnya,” ujarnya.
Presiden SSPCA, Datin Donna Drury Wee, pula berkata kucing tersebut sebenarnya telah mati disebabkan oleh faktor alam, dan bukannya akibat penganiayaan.
“Saya ingin menyatakan fakta bahawa apabila badan kucing itu ditemui, ia sebenarnya sudah meninggal oleh sebab-sebab semula jadi.
“Kemudian, remaja yang menemuinya, meninggalkan kucing tersebut sekejap sebelum berniat hendak menguburkannya.
“Selepas itu, badan kucing itu hilang. Jadi, ini bukanlah situasi di mana seseorang membunuh kucing tersebut,” jelasnya.
Donna juga menyatakan bahawa tidak ada bukti penganiayaan terhadap kucing tersebut dan berharap perkara ini tidak diputar belitkan.
Oleh Masrin Affirah