
KUCHING: Setiausaha DAP Cawangan Batu Lintang, Arlena Wee, telah membuat laporan polis bagi meminta siasatan segera dijalankan berhubung kes disyaki penderaan dan pembunuhan seekor kucing di kampus Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Menurutnya, laporan itu dibuat bukan sahaja untuk membela nasib haiwan yang dianiaya, tetapi juga sebagai mesej penting kepada orang awam, dan pihak berkuasa bahawa isu ini melibatkan aspek keselamatan awam yang serius.
“Sebagai warganegara yang prihatin, saya amat terganggu dengan kejadian ini. Ia bukan sekadar isu kebajikan haiwan, tetapi berpotensi menjejaskan keselamatan pelajar, kakitangan dan komuniti sekitar,” katanya ketika ditemui media.
Wee menegaskan bahawa sifat kejadian yang mengganggu ini memberi petunjuk kemungkinan kuat penglibatan manusia, dan oleh itu memerlukan perhatian serta tindakan tegas daripada pihak berkuasa.
Beliau turut menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan dan tidak melindungi pelaku.
Tegasnya, perbuatan kejam ini bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, malah boleh menjadi ancaman kepada keselamatan awam jika tidak dibendung.
“Jika disahkan wujud penglibatan manusia, sebarang kelewatan atau kelonggaran dalam siasatan boleh mendatangkan risiko besar kepada haiwan lain dan masyarakat,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut mendesak pihak pengurusan UNIMAS supaya mendedahkan hasil siasatan dalaman mereka, termasuk rakaman CCTV, kenyataan saksi, dan sebarang bukti yang dikumpul oleh bahagian keselamatan universiti.
“Sekiranya pihak universiti yakin bahawa kematian kucing itu berpunca daripada serangan haiwan lain, bukti yang telus perlu dikemukakan bagi memulihkan kepercayaan orang ramai,” tambahnya.
Wee turut melahirkan kebimbangan sekiranya wujud cubaan menyembunyikan maklumat atau melindungi pihak tertentu, ia akan menjejaskan kredibiliti institusi terbabit.
Beliau menegaskan bahawa laporan polis tersebut tidak dibuat secara melulu atau berasaskan emosi, sebaliknya turut disokong oleh kenyataan rasmi daripada doktor haiwan.
Hasil pemeriksaan foto, katanya, mendapati luka pada badan kucing tersebut dipercayai disebabkan objek tajam buatan manusia dan bukan kesan gigitan haiwan liar.
Jelasnya lagi, malah, badan haiwan itu juga tidak menunjukkan tanda-tanda dimakan pemangsa.
Beliau turut mencadangkan agar pakar forensik veterinar dan profesional haiwan dilibatkan dalam siasatan, bagi memberikan pandangan pakar yang dapat membantu mempercepatkan dan memperkukuhkan siasatan.
Tambahnya, laporan itu juga menekankan kepentingan suara anak muda dalam isu kebajikan dan keadilan, dan mengingatkan bahawa tiada individu atau institusi yang harus diberi layanan istimewa di sisi undang-undang.
“Keadilan tidak boleh bersifat selektif. Semua pihak harus bertanggungjawab tanpa mengira latar belakang atau kedudukan,” tegasnya.
Wee menutup kenyataannya dengan tiga gesaan utama: agar pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh, agar pihak UNIMAS memberi kerjasama penuh dengan mendedahkan hasil siasatan, dan agar kerajaan negeri mempertimbangkan untuk memperkukuh pelaksanaan undang-undang kebajikan haiwan di Sarawak.
Oleh Connie Chieng