
SARIKEI: Sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan kebersihan persekitaran dan kesejahteraan komuniti, Majlis Daerah Sarikei (MDS) telah mengambil inisiatif untuk memindahkan tong sampah jenis Roll-On Roll-Off (RORO) yang berada di Jalan Hua Ee ke lokasi lebih strategik dan sesuai iaitu di Simpang Jalan Pasi/Meradong.
Pengerusi Majlis Daerah Sarikei (MDS), Wong Kie Yong berkata, ini menjadikan tapak RORO Simpang Jalan Pasi/Meradong mempunyai dua unit tong RORO.
“Pemindahan ini dilakukan setelah mengambil kira maklum balas daripada penduduk setempat serta hasil tinjauan dan penilaian oleh pihak teknikal MDS.
“Penempatan semula ini bertujuan memastikan pengurusan sisa pepejal dapat dilaksanakan secara lebih efisien tanpa menjejaskan keselesaan atau keselamatan awam,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, langkah tersebut dijangka dapat mengurangkan kejadian pembuangan sampah secara haram di mana kawasan ini dikenal pasti sebagai titik tumpuan pembuangan sisa pukal dan mudah diakses oleh pihak kontraktor pembersihan.
“Selain daripada itu, MDS juga meletakkan tong RORO di kawasan lapang Jalan Hua Tai, Jalan Merudu, Simpang Sare, Taman Selera Baji Jaya, Jalan Pisang Emas (Kampung Seberang), kawasan lapang Kedai Taman Susur Jambu, Simpang Jalan Pasi/Meradong, BDC Jalan Industri, Simpang Jalan Bulat Lama, Rumah Sembelih Jalan Kwong Ming, Simpang Sungai Sebanyak dan Jalan Repok (Batu 13 ½).
“MDS juga ingin mengingatkan bahawa tong RORO ini hanya untuk pembuangan sisa pukal dan sisa kebun seperti perabot lama dan sisa domestik harian,” katanya.
Tambahnya, bahan yang tidak dibenarkan dibuang ke dalam tong RORO adalah sisa berbahaya seperti bateri, cat, bahan kimia, sisa elektronik (e-waste) dan bangkai haiwan.
“Saya menyeru agar semua penduduk mematuhi garis panduan yang ditetapkan dan menggunakan kemudahan ini secara bertanggungjawab demi menjaga kebersihan dan kesihatan komuniti.
“Sebarang pertanyaan atau untuk melaporkan perbuatan pembuangan sampah secara haram boleh berhubung dengan Bahagian Kesihatan Awam Dan Perkhidmatan Bandar di talian 084-651201/651202 atau melalui laman web rasmi MDS dalam talian https://sarikeidc.sarawak.gov.my.
“Orang awam juga boleh melaporkan melalui Apps Talikhidmat,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek