BELADIN: Penanaman nanas secara besar-besaran berpotensi besar khususnya dalam menjana pendapatan kepada pengusaha ladang di Pusa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor berkata, sektor penanaman nanas di Pusa juga selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai pusat pengeluaran makanan atau ‘food basket’.
“Kita dapat melihat bahawa ladang nanas mempunyai potensi yang besar, khususnya menjana pendapatan untuk pengusaha ladang nanas.
“Ia juga sesuai dan selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan kawasan ini sebagai pengeluaran ‘food basket’ dan sebagai pengeluar nanas yang dijangka dapat membantu dalam meningkatkan pendapatan penduduk di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke ladang nanas di Kampung Beladin bersama Koperasi Serbaguna Anak-Anak Selangor Berhad (KOSAS) dan Koperasi Kariah Masjid Beladin Al-Amin Betong dekat sini semalam.
Jelas Razaili, Koperasi Kariah Masjid Beladin Al-Amin adalah merupakan perintis dan peneraju dalam industri nanas di kawasan tersebut dengan menumpukan usaha terhadap penanaman nanas MD2.
“Kita berasa bangga kerana sejak tiga tahun yang lalu, koperasi ini telah menghasikan hasilnya beserta dengan benih sulur MD2 untuk dibekalkan di kawasan ini,” tambah beliau lagi.
Dalam pada itu, Razaili berkata, beliau telah memaklumkan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bahawa kawasan persisiran pantai seperti di Beladin ini akan turut ditanam dengan pelbagai tanaman kontan yang lain seperti pisang dan kelapa dan berharap kawasan ini akan menjadi ‘food basket’ bagi negeri Sarawak.
Tambahnya lagi, dengan adanya projek ini ia sekaligus akan menjadi sebahagian daripada sumber pendapatan tambahan kepada penduduk setempat.
“Ini juga akan dapat membantu Kerajaan Sarawak mengurangkan import bahan makanan daripada negara luar,” tegas Razaili.
Sementara itu, Penghulu Kampung Beladin, Mahbang Labek ketika ditemui amat berterima kasih kepada Razaili yang telah banyak membantu koperasi berkenaan dalam program penanaman nanas itu.
Oleh Adi Safarman