
BEIJING: China akan melancarkan satu misi ke angkasa lepas minggu ini, selaras dengan usaha berterusan Beijing untuk mencapai matlamat menghantar angkasawan ke Bulan.
Misi Shenzhou-20 akan dilancarkan dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China, membawa tiga angkasawan ke stesen angkasa Tiangong, buatan negara itu sendiri, bagi menjalankan misi selama kira-kira enam bulan.
Kru berkenaan akan menjalankan pelbagai ujikaji bagi menyokong aspirasi besar program angkasa China, termasuk menghantar angkasawan ke Bulan menjelang 2030 serta membina pangkalan di permukaan bulan pada masa akan datang.
Agensi Angkasa Bermanusia China (CMSA) minggu lalu memaklumkan, kapal angkasa Shenzhou dan roket pelancar Long March-2F sudah dipindahkan ke tapak pelancaran dan akan dilancarkan pada masa yang sesuai dalam tempoh terdekat.
Foto yang disiarkan oleh agensi berita rasmi Xinhua menunjukkan roket putih berada di atas pelantar biru dihiasi bendera kebangsaan, menghala ke langit, diiringi kain rentang merah dan emas yang memuji kemajuan program angkasa negara itu.
“Ketika ini, kemudahan dan peralatan di tapak pelancaran berada dalam keadaan baik. Pemeriksaan fungsi dan ujian bersama akan dijalankan mengikut perancangan,” menurut CMSA.
Setakat ini, pihak berkuasa belum mendedahkan identiti angkasawan bagi misi Shenzhou-20 atau butiran tugas yang akan dilaksanakan.
Zhou Wenxing, petugas di pusat latihan angkasawan negara, dipetik oleh penyiar rasmi CCTV pada Ahad berkata bahawa kru berkenaan berada dalam keadaan baik, operasi yang tepat dan koordinasi yang lancar.
Misi terdahulu, Shenzhou-19, dilancarkan pada Oktober lalu dan dijangka tamat pada 29 April ini.
Misi itu diketuai oleh Cai Xuzhe, 48, bekas juruterbang tentera udara yang pernah menyertai misi Shenzhou-14 ke stesen angkasa Tiangong pada 2022.
Turut serta ialah Wang Haoze, 35, jurutera penerbangan angkasa wanita tunggal China dan wanita ketiga negara itu yang terbabit dalam misi membawa angkasawan ke angkasa lepas manakala seorang lagi kru ialah Song Lingdong, 34.
Kru Shenzhou-19 menjalankan ujian untuk menilai bagaimana radiasi melampau, graviti, suhu dan faktor lain memberi kesan kepada ‘bata’ yang diperbuat daripada bahan tiruan tanah bulan, menurut laporan ketika pelancaran.
Di bawah kepimpinan Presiden Xi Jinping, China terus mempercepatkan pelaksanaan apa yang digelar sebagai ‘impian angkasa’ negara itu.
China menjadi negara ketiga yang berjaya menghantar manusia ke orbit dan telah mendaratkan robot peneroka di Marikh serta di Bulan.
Permata utama program angkasa itu ialah Tiangong, stesen angkasa yang dihuni pasukan tiga angkasawan secara bergilir setiap enam bulan.
Beijing menyatakan pihaknya berada di landasan yang tepat untuk menghantar misi membawa angkasawan ke Bulan menjelang 2030.
Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, China melabur berbilion dolar untuk membina program angkasa yang mampu menyaingi Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Pada 2019, kenderaan perayau Chang’e-4 berjaya mendarat di bahagian jauh Bulan, pencapaian pertama dalam sejarah penerokaan angkasa lepas.
Stesen angkasa Tiangong, yang mana model terasnya, Tianhe, dilancarkan pada 2021, dirancang akan digunakan selama kira-kira 10 tahun. – AFP