
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Eropah (EC) telah digesa mengiktiraf pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi menggalakkan penerimaan yang lebih besar terhadap Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) Belvinder Kaur berkata pensijilan MSPO berkesan melarang penebangan hutan untuk pengeluaran minyak sawit selepas 2019, kajian juga menunjukkan tahap penumpuan tinggi antara pensijilan dan piawaian EUDR.
“Mengiktiraf skim pensijilan kebangsaan konvergen seperti MSPO sebagai patuh EUDR akan menyelaraskan kewajipan pematuhan untuk pengeluar, menghapuskan pertindihan yang tidak perlu dan mengurangkan kewajipan usaha wajar untuk pembeli pada tahap minimum,” katanya kepada Bernama.
Belvinder juga menggesa EC menerima pencapaian kemampanan Malaysia dan mengklasifikasikan negara sebagai berisiko rendah di bawah sistem penanda aras negara EUDR.
“Beberapa organisasi antarabangsa termasuk Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Institut Sumber Dunia telah menyatakan bahawa terdapat penurunan ketara dalam kehilangan hutan Malaysia, ia konsisten dengan status ‘risiko rendah’.
“Sehubungan itu, minyak sawit Malaysia tidak lagi menjadi pemacu penebangan hutan dan status ‘berisiko rendah’ merupakan alat diperlukan untuk memudahkan pematuhan EUDR, pada masa sama meringankan beban pembeli EU dan pengeluar Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada pengumuman EC untuk memudahkan pelaksanaan EUDR melalui garis panduan dikemas kini dan senarai soalan lazim (FAQ) pada 14 April, 2025.
MPOC mengakui prosesnya telah dipermudahkan, bagaimanapun ia hanya akan bermakna jika memberi manfaat kepada pengeluar di Malaysia dan mengurangkan beban pematuhan bertindih yang tidak perlu.
“Realitinya, EUDR mengenakan beban pentadbiran yang besar kepada pengeluar minyak sawit khususnya pekebun kecil di Malaysia.
“Oleh itu, usaha untuk memudahkan cara untuk semua pihak berkepentingan termasuk negara pengeluar, adalah paling penting bukannya dipermudahkan untuk pihak berkepentingan tertentu dalam rantaian bekalan,” kata Belvinder.
Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata garis panduan yang dikemas kini memberikan kejelasan lebih baik untuk melaksanakan EUDR, memberi manfaat terutamanya kepada syarikat EU dan pengeksport Malaysia dengan mengurangkan keraguan dan menyelaraskan amalan dengan keperluan kawal selia.
“Kami menghargai langkah membenarkan syarikat menyerahkan penyata usaha wajar setiap tahun dan bukannya untuk setiap penghantaran atau kumpulan diletakkan di pasaran EU. Bagaimanapun, kewajipan dan keperluan teras yang digariskan dalam teks utama EUDR kekal tidak berubah adalah penting.
“Pengeksport Malaysia ke EU masih perlu mematuhi semua EUDR. Dijangka kejatuhan 30 peratus dalam kos pentadbiran akan memberi manfaat kebanyakannya kepada syarikat EU,” katanya.
Ahmad Parveez berkata penjelasan itu mungkin membantu dalam memahami proses pelaksanaan tetapi ia tidak mengurangkan beban pematuhan dengan ketara terutamanya dalam kalangan syarikat kecil dan sederhana.
“Pengeksport Malaysia masih perlu memenuhi keperluan pematuhan yang ketat termasuk data geolokasi terperinci dan bukti penyumberan bebas penebangan hutan.
“Justeru, industri terus menyokong pengiktirafan lebih besar terhadap pensijilan kemampanan negara seperti pensijilan MSPO dan bagi kriteria penanda aras yang telus untuk memastikan layanan adil di bawah EUDR,” katanya.
Pada asalnya EUDR dijadual dilaksanakan pada Disember 2024, EUDR kini berubah pada penghujung tahun 2025 untuk negara anggota, pengendali dan pedagang.
EC menerbitkan dokumen panduan baharu mengenainya.
“Panduan dan senarai soalan-soalan lazim yang dikemas kini akan menyediakan syarikat, pihak berkuasa negara anggota EU dan negara rakan kongsi dengan langkah mudah dan penjelasan tambahan mengenai cara menunjukkan bahawa produk mereka bebas penebangan hutan.
“Kedua-dua dokumen mencerminkan input daripada negara anggota, negara rakan kongsi, perniagaan dan industri. Ini juga akan menjamin pelaksanaan undang-undang diselaraskan di seluruh EU,” kata EC. – Bernama