
KUALA LUMPUR: Meskipun dunia seni penuh glamor, persaingan sengit berikutan kemunculan bakat baharu yang silih berganti menjadi cabaran untuk mereka yang berada di dalam dunia seni kekal relevan sehingga mendorong sebilangan mereka merangka pelan sandaran, termasuk menceburi bidang perniagaan.
Antara yang mengambil langkah sedemikian ialah pelakon dan usahawan Datuk Rosyam Nor yang berpendapat kerjaya lakonan tidak menjanjikan kesinambungan kerana bergantung pada tawaran serta faktor usia yang semakin meningkat, sekali gus menyukarkan artis menerima peluang berlakon.
“Sepatutnya seorang artis kena ada backup plan, macam kita lihat orang-orang (artis) terdahulu daripada kita apabila mereka berumur orang sudah tak nak lagi kerana orang mahukan replacement.
“Keadaan dia ibarat kenderaan, orang lebih gemar cari yang baharu, begitu juga dengan artis sebab kalau dia dah tua, peminatnya juga mungkin juga sudah berusia seperti mereka memandangkan individu itu mengikuti artis itu ketika awal kerjayanya,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Rosyam yang dikenali dengan julukan ‘Hero Malaya’ berkata memandangkan jangka hayat populariti seorang artis lazimnya sekitar 10 tahun, mereka perlu bijak merencana kerjaya jika mahu terus kekal relevan dalam industri.
“Saya bernasib baik sebab saya susun (kerjaya) seperti sebelum ini saya berlakon dalam filem Memoir Seorang Guru membawakan watak Cikgu Sunan, dan naskhah itu ditayangkan di semua sekolah Malaysia. Bila saya keluar, budak-budak semua panggil saya Cikgu Sunan, jadi saya dapat peminat baharu,” katanya.
Justeru, Rosyam yang mencetuskan fenomena menerusi watak Iman dalam drama Keluarga Itu, menyarankan agar artis melihat ke depan, mencari peluang sumber pendapatan, antaranya dengan memanfaatkan perkembangan teknologi yang juga mampu meningkatkan hasil kewangan.
“Artis muda sekarang dah pandai dan mempunyai (kelayakan) akademik tidak seperti macam zaman saya. Jadi, mereka adalah golongan yang bijak, mereka telah masuk ke dalam dunia media yang baru di mana mereka tahu menggunakan dunia itu bagi meraih pendapatan ekstra.
“Dan lakonan ataupun selebriti itu boleh menjadi satu branding untuk melonjakkan perniagaan yang ingin diceburi. Perniagaan hari ini tak semestinya fizikal boleh juga dalam bentuk alam maya, apa sahaja yang boleh digunakan melalui media sosial seperti live TikTok dibayar hingga RM10,000,” katanya.
Berkongsi pendapat sama, penyanyi dan usahawan Shiha Zikir yang berpandangan penting untuk setiap artis mempunyai sumber pendapatan alternatif memandangkan pendapatan sebagai selebriti tidak menentu.
“Artis ini ada job, ada. Tak ada job, tak adalah jadi sebab itu Shiha sendiri kena ada plan. Saya pun try sahaja business yang diminati, contoh Shiha suka entertainment so saya rasa why not buat business berkenaannya?
“Selain daripada minat entertainment, Shiha juga minat makan maka buatlah restoran. Kalau orang tanya ‘Tak takut ke restoran tak laku?’ Bagi Shiha kita kena ada keberanian dan take risk baru you boleh grow. Cubalah cari minat lain, selain daripada gaji yang asal untuk kita top-up lagi,” katanya wanita berusia 38 tahun itu.
Shiha yang mula menceburi perniagaan secara kecil-kecilan sekitar 2016 berkata selain menjadi persediaan di masa depan, perniagaan dimiliki juga boleh membantunya berkongsi rezeki dengan komuniti setempat. – Bernama