
TATKALA dunia berdepan cabaran ekonomi yang meruncing, lawatan rasmi kedua Presiden China, Xi Jinping, ke Malaysia minggu lalu menjadi simbol eratnya kerjasama dua negara dalam mendepani liku-liku perjalanan ekonomi dunia.
Tindakan pentadbiran baharu Amerika Syarikat di bawah Donald Trump mengenakan tarif terhadap beberapa negara, termasuk Malaysia dan China, mencetuskan ketegangan perdagangan global.
China menjadi sasaran utama dengan kadar tarif tertinggi, lalu bertindak balas dengan mengenakan tarif ke atas barangan Amerika Syarikat.
Perang dagang antara kedua-dua kuasa besar ini telah memberi kesan ketara kepada negara-negara lain yang terlibat dalam jaringan perdagangan global mereka.
Dalam situasi ini, Malaysia berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan impak daripada perang dagang yang berlaku.
Justeru, lawatan Presiden Xi Jinping amat bermakna kepada negara kita.
China merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut, menyumbang sebanyak 16.8 peratus daripada keseluruhan dagangan global negara.
Hubungan erat ini bukan sesuatu yang baharu, kerana sejak dahulu lagi China memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi di Kepulauan Melayu.
Kerajaan-kerajaan awal di rantau ini menjalin hubungan baik dengan China, dan turut menikmati manfaat daripada kemajuan ekonomi yang dicapai dari peradaban China ketika itu.
Jalinan Perdagangan
Berdasarkan kajian sejarah, dinasti-dinasti di China telah menjalin hubungan dagangan dengan kerajaan Kedah Tua.
Hubungan ini dibuktikan melalui penemuan seramik China di tapak arkeologi Sungai Mas yang bertarikh sekitar abad ke-7 Masihi.
Hubungan ini menunjukkan bahawa peradaban China telah memberi pengaruh besar dalam memacu ekonomi kerajaan-kerajaan di Kepulauan Melayu.
Di Sarawak juga wujud bukti hubungan ini, apabila barangan dagangan dari tanah besar China ditemui di tapak arkeologi Santubong.
Santubong pernah menjadi sebuah pusat pelabuhan utama yang dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari China, yang berminat terhadap pelbagai hasil bumi dari wilayah ini.
Antara barangan dagangan yang mendapat permintaan tinggi termasuk sarang burung, kapur barus, cula badak dan bijih besi.
Hubungan perdagangan ini dibuktikan melalui penemuan arkeologi di Sungai Jaong, di mana porselin dari Dinasti Tang dan Dinasti Song (Selatan) telah ditemui.
Penemuan ini menjadi bukti kukuh terhadap keberadaan hubungan dagang antara Sarawak dan tanah besar China sejak zaman silam.
Sementara itu, di Bukit Bongkissam turut ditemui beberapa barangan porselin dari China yang berasal dari Dinasti Song.
Penemuan yang lebih menarik pula terdapat di Tanjung Kubur, iaitu sekeping syiling Kai Yuan yang dipercayai berasal dari Dinasti Tang atau Dinasti Song.
Selain itu, terdapat juga penemuan seramik dari Dinasti Yuan, yang sekali lagi mengukuhkan bukti hubungan perdagangan yang telah lama terjalin antara China dan rantau ini.
Diplomatik
Bukti-bukti arkeologi ini membuktikan bahawa China menjadi antara faktor yang membangunkan perdagangan di Kepulauan Melayu.
Pada era Dinasti Ming hubungan dagangdan diplomasi diperhebatkan lagi.
Lawatan Laksamana Zheng He merupakan bukti jelas bagaimana China sekali lagi menunjukkan peranannya dalam pembangunan perdagangan dan diplomasi di Kepulauan Melayu.
Ketika itu, Melaka telah muncul sebagai pelabuhan utama di rantau Asia Tenggara.
China memainkan peranan penting dalam melindungi Melaka daripada sebarang ancaman luar yang berpotensi menggugat kestabilan di Kepulauan Melayu.
Siam, yang dilihat sebagai kuasa yang berpotensi mengancam Melaka telah diberi peringatan oleh Dinasti Ming agar tidak mencampuri urusan Melaka.
Hubungan baik antara Melaka dan China ini telah menyumbang kepada kemakmuran Kesultanan Melayu Melaka, sehingga menjadikannya sebuah kuasa besar di Selat Melaka.
Namun begitu, hubungan ini tidak berkekalan apabila Dinasti Ming mula melaksanakan dasar tutup pintu (isolationism), yang mengehadkan hubungan luar termasuk perdagangan dan diplomasi.
Campur tangan
Pada abad ke-16 percaturan dunia mula mengalami perubahan kerana kuasa Barat pula yang cuba menganggu kestabilan di Asia Tenggara dan Asia Timur.
Keadaan ini menyebabkan campur tangan dan penjajahan kuasa Barat bukan sahaja berlaku di Asia Tenggara tetapi di China.
Pengalaman yang dilalui oleh Malaysia dan China pada waktu itu adalah serupa, di mana kuasa Barat mengambil kesempatan untuk menjajah wilayah-wilayah strategik di rantau ini.
Keadaan ini menyebabkan hubungan antara China dan kerajaan-kerajaan di Kepulauan Melayu mula berubah.
China terpaksa berdepan dengan tekanan yang semakin meningkat dari kuasa Barat dalam hal perdagangan dan diplomasi, yang menuntut penyesuaian dalam dasar luar negara China.
Akibat daripada perubahan ini, Melaka akhirnya dijajah oleh Portugis, sementara Macao di China menjadi kawasan penempatan penduduk Portugis.
Kuasa Belanda dan British juga turut menyertai usaha untuk meluaskan penjajahan mereka di Tanah Melayu.
Sarawak dan Sabah tidak terkecuali daripada penjajahan ini apabila Raja Brooke dan Syarikat British Borneo Utara mula menguasai kedua-dua wilayah tersebut.
China pula mengalami masalah daripada pencerobohan British apabila meletusnya Perang Candu.
Sejak itu China mula sibuk untuk menangani kemaraan kuasa Barat di tanah air mereka.
Kelemahan China ini membawa berlakunya migrasi buruh ke Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah.
Merdeka
Dominasi kuasa Barat (termasuk Jepun) ke atas China berterusan sehingga tamatnya Perang Dunia Kedua.
Akhirnya Republik Rakyat China terbentuk pada 1949 yang memulakan era baharu dalam sejarah China.
Tanah Melayu pula diberi kemerdekaan pada 1957.
Pembentukan Malaysia membebaskan Sarawak dan Sabah daripada jajahan British.
Hubungan antara Malaysia dan China pada awalnya agak dingin terutamanya disebabkan oleh isu komunis.
Namun, pada 1970-an, situasi ini mula berubah apabila Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein mengadakan lawatan rasmi ke China untuk menjalin hubungan diplomatik.
Lawatan yang berlangsung pada 28 Mei 1974 ini sangat signifikan, kerana rombongan Malaysia juga terdiri daripada wakil Sarawak, iaitu Tun Jugah Barieng.
Ini menunjukkan bahawa pemimpin Sarawak turut diberikan pengiktirafan dalam usaha memperkukuhkan hubungan dengan China.
Selepas
Era-era 1980-an menyaksikan bagaimana hubungan antara kedua-dua kerajaan diperkukuhkan.
Hal ini boleh dilihat dengan usaha awal untuk menandatangani perjanjian Pengelakan Cukai Berganda dan Pencegahan Pengelakan Cukai berhubung dengan Cukai Pendapatan.
Jumlah dagangan antara Malaysia dan China pada 1990 adalah sebanyak AS$1.18 bilion, dan meningkat kepada AS$1.33 bilion pada 1991. Pada 1992, angka ini terus meningkatckepada AS$1.48 bilion.
Sarawak turut mendapat keuntungan besar daripada hubungan baik antara Malaysia dan China.
Pada 2012, syarikat-syarikat China seperti China Dalian International Economic and Technical Cooperation Group Co. Ltd. menunjukkan minat untuk melabur di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu.
Selain itu, syarikat Comtec Solar System Group dari Shanghai juga turut melabur di Sarawak pada tahun yang sama.
China menjadi pengimport kelima terbesar kayu balak Sarawak pada 2013, dan Sarawak juga mendapat manfaat daripada penubuhan cawangan Bank China di Kuching pada tahun sama.
Hubungan kebudayaan antara Sarawak dan China dipererat apabila kumpulan persembahan China dari Zhenjiang, Jiangsu, menyertai Kuching Festival Fair pada 2014.
Secara umumnya hubungan Malaysia-China memberi banyak manfaat kepada negara kita dari awal hubungan mereka sehingga ke hari ini.
Lawatan Presiden Xi Jinping merupakan petanda bahawa hubungan antara kedua-dua negara akan terus kekal dengan baik.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, FakultiSains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).