
SIBU: Penanaman nanas berpotensi besar untuk dijadikan sumber ekonomi baharu bagi masyarakat luar bandar berikutan harganya yang stabil dan permintaan pasaran yang semakin meningkat.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing, berkata tanaman nanas bukan sahaja mudah diusahakan, malah mempunyai pasaran yang luas termasuk ke pasaran eksport.
“Ia bukan sahaja mudah untuk diusahakan, malah permintaan pasaran semakin meningkat termasuk untuk pasaran eksport,” katanya.
Tiong berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Sibu Jaya, Kaunselor Paul Teo semasa merasmikan Kursus Penanaman Nanas 2025 di Rumah Nyudang Jalin, Ulu Sungai Assan, Batu 13, Jalan KJD, di sini pada Sabtu lalu.
Turut hadir Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Negeri Sarawak Mohd Nazaiful Azdi Rahman, Pengerusi Koperasi Komuniti Satu Malaysia Seremban Berhad Titan Ho Kok Yew, serta beberapa penghulu dan ketua masyarakat setempat.
Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, berkata penganjuran kursus tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik penanaman yang efisien, penjagaan tanaman serta strategi pemasaran hasil pertanian mereka.
“Dengan ilmu dan kemahiran yang diperoleh, saya berharap penduduk rumah panjang dapat menjadikan tanaman nanas sebagai sumber pendapatan mampan, sekali gus membawa pulangan menguntungkan,” katanya.
Tiong turut menggalakkan peserta meneroka potensi hiliran produk nanas seperti jem, jus, makanan ringan serta produk berasaskan kulit nanas seperti cecair pencuci.
“Ini bukan sahaja menambah nilai kepada hasil tanaman, malah boleh membuka peluang kepada lebih ramai usahawan dalam komuniti kita,” tambahnya.
Menurut Tiong, kerajaan sentiasa komited membantu petani kecil melalui pelbagai inisiatif termasuk penyediaan benih berkualiti, latihan teknikal serta sokongan pemasaran produk.
Sehubungan itu, Tiong menyarankan peserta agar memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang diperoleh sepanjang kursus dan menjalin kerjasama erat dengan agensi berkaitan demi meningkatkan hasil pertanian.
“Saya berharap kursus ini menjadi titik permulaan ke arah kejayaan yang lebih besar buat semua peserta. Dengan usaha dan semangat tinggi, kita boleh menjadikan penanaman nanas sebagai satu industri yang membawa manfaat kepada seluruh komuniti,” katanya.
Oleh Tarani Lanting