
MIRI: Cubaan satu sindiket menyembunyikan rokok dan minuman keras disyaki haram digagalkan sepasukan Pegawai Kastam dari Unit Operasi Darat, Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Miri dalam serbuan pada 16 April lalu.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Norizan Yahya, dalam satu kenyataan media hari ini, berkata bertindak atas maklumat awam, sepasukan pegawai telah membuat serbuan terhadap sebuah kontena bersaiz 20 kaki yang terletak di kawasan Eastwood Valley Industrial Estate di sini, kira-kira 8.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan ke atas kontena berkunci itu menemukan sebanyak 700,000 batang rokok putih pelbagai jenama tanpa setem cukai serta 1,536 liter minuman keras yang disyaki sebagai barang larangan.
“Anggaran nilai sitaan adalah RM74,372.00, manakala jumlah duti dan cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM492,319.20. Secara keseluruhannya, nilai barang sitaan termasuk duti dan cukai dianggarkan berjumlah RM566,691.20,” katanya.
Rokok dan minuman keras tersebut dikategorikan sebagai barang larangan bersyarat di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, yang mana pengimportannya memerlukan Permit Import (IP) yang sah.
Menurut Norizan, sindiket penyeludupan itu menggunakan modus operandi dengan menjadikan kontena sebagai tempat penyimpanan barangan larangan bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.
Sementara itu, beliau menyeru orang ramai agar membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya melibatkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan barangan lain, selain menasihatkan agar tidak terlibat dalam aktiviti haram itu.
“Penyeludupan bukan sahaja menyebabkan kerugian besar kepada negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mengancam keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.
“JKDM juga menyeru orang awam untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi Pejabat Kastam terdekat di seluruh negara.
“Kami memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya,” ujarnya.
Oleh Liong Chai Ling