
VATICAN: Susulan kematian Paus Francis yang diumumkan Vatican hari ini, berikut adalah apa yang akan berlaku seterusnya dalam Gereja Roman Katolik, yang mana rangkaian ritual itu menandakan penamatan satu Paus dan permulaan yang baharu.
Camerlengo (pegawai istana Paus), Kardinal Kevin Farrell, secara rasmi mengesahkan kematian Paus.
Beliau kemudian menutup kediaman rasmi Paus dan menguruskan persiapan upacara pengebumian.
Camerlengo bersama tiga pembantunya akan menentukan bila keranda paus dibawa ke Basilika St Peter untuk tatapan umum.
Mereka juga memastikan ‘Cincin Nelayan’ salah satu perhiasan simbolik yang dipakai oleh Paus, dan tanda meterainya dipecahkan supaya tidak boleh digunakan oleh orang lain. Tiada bedah siasat dilakukan.
Upacara berkabung berlangsung selama sembilan hari, dengan tarikh upacara sembahyang dan pengebumian ditetapkan oleh Kardinal.
Kebiasaannya, pengebumian diadakan empat hingga enam hari selepas kematian, di Dataran St. Peter.
Francis sebelum ini menyatakan beliau tidak mahu disemadikan dalam ruang bawah tanah Basilika St Peter seperti kebanyakan pendahulunya, sebaliknya di Basilika St Mary Major di Rom dan turut meminta dikebumikan dalam keranda kayu ringkas.
Kolej Kardinal akan menguruskan hal ehwal harian semasa tempoh kekosongan paus itu. Mereka mempunyai kuasa terhad dan banyak pentadbiran utama Gereja akan dihentikan sementara.
Konklaf atau perhimpunan untuk memilih Paus baharu akan bermula di Sistine Chapel di Vatican antara 15 hingga 20 hari selepas kematian.
Kardinal, yang akan dikurung di dalam Vatican sepanjang tempoh konklaf, akan memutuskan tarikh tepat bermulanya proses itu.
Semua kardinal berumur bawah 80 tahun berhak mengambil bahagian dalam pengundian rahsia itu.
Mereka perlu mencapai majoriti dua pertiga, ditambah satu undi untuk memilih Paus baharu, menyebabkan proses pengundian mungkin memakan masa beberapa pusingan selama beberapa hari.
Dunia akan mengetahui seorang Paus dipilih apabila kertas undian dibakar dengan bahan kimia khas sehingga menghasilkan asap putih dari serombong gereja.
Jika undian tidak berjaya, asap hitam akan keluar sebagai tanda keputusan belum muktamad.
Dekan Kolej Kardinal akan tampil di balkoni tengah Basilika St. Peter untuk mengumumkan ‘Habemus Papam’ (sudah ada Paus baharu).
Paus baharu kemudian akan muncul untuk menemui orang ramai yang berkumpul di dataran di Vatican.