
ASAJAYA: Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri di Kampung Moyan Laut membuktikan komitmen kerajaan Sarawak mengiktiraf hak rakyat dan memperkukuh pembangunan luar bandar.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, menyatakan pengiktirafan rasmi terhadap pemilikan tanah kampung tradisi memberi impak besar kepada masa depan masyarakat luar bandar.
“Pemilikan sah tanah memberikan jaminan keselamatan dan membuka peluang ekonomi lebih luas kepada penduduk kampung.
“Dengan adanya geran tanah, penduduk boleh membuat pinjaman, membangunkan aset atau mewariskan harta kepada generasi akan datang.
“Ia juga menjadi bukti kesungguhan kerajaan negeri dalam menjaga hak rakyat dan tidak membiarkan mereka terus terpinggir,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi Kampung Tradisi Moyan Laut, Asajaya, pagi tadi.
Dalam pada itu, Penguasa Tanah dan Survei Samarahan, Mohammad Zunica Mohamad Sapi’ee menjelaskan bahawa proses kelulusan permohonan pengeluaran surat hak milik tanah telah melalui beberapa fasa sejak 2022.
“Permohonan rasmi diterima pada Februari 2022 dan disusuli sesi libat urus serta pemaparan jadual penuntut sebelum diluluskan pada Mac 2025.
“Surat hak milik tanah kemudian dikeluarkan pada 14 April 2025 dan akan diserahkan kepada 57 jumlah penerima,” jelasnya.
Majlis tersebut menyaksikan seramai 57 penduduk Kampung Moyan Laut menerima 66 surat hak milik tanah yang melibatkan kawasan seluas 2.06 hektar.
Majlis turut dimeriahkan dengan acara ramah tamah Aidilfitri sebagai inisiatif tanggungjawab sosial antara agensi kerajaan dan penduduk kampung.
Oleh Masrin Affifah