
HAMPIR dua dekad berkelana dalam dunia seni, bakat lakonan Syafie Naswip, 33 yang mula dicungkil menerusi filem Mukhsin semakin menyerlah dan namanya dianggap sebaris dengan pelakon senior hebat lain.
Biarpun begitu, pelakon yang terkenal dengan membawa genre serius ini, tidak pernah merasakan dirinya sudah hebat bahkan sangat dikenali sebagai seorang yang merendah diri dan tidak kisah untuk bekerjasama dengan produksi baharu.
Baginya, yang penting sesuatu karya tidak kiralah filem, drama mahupun telefilem, mampu mengangkat sesuatu kelainan dalam lakonannya supaya tidak kelihatan stereotaip di mata penonton termasuklah impiannya membantu merancakkan lagi perkembangan industri perfileman tanah air, khususnya dari Sabah.
“Bagi saya, industri filem di Sabah kini semakin berkembang. Mereka mempunyai idea dan semangat besar, namun kekangan dari segi platform dan capaian penonton di Semenanjung sedikit sebanyak mengehadkan potensi mereka.
“Dengan penglibatan saya dalam filem ini (Mantera), saya harap dapat membantu membuka ruang dan menarik perhatian kepada bakat serta karya dari Sabah yang lain,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem seram Mantera di sini, baru-baru ini.
BERI PENGALAMAN BAHARU

Diarahkan oleh Chester Pang, pengarah dari Sabah, suami kepada Nur Afiqah Ishak ini berkata selain menyokong penggiat seni Borneo itu, penglibatannya turut memberikan pengalaman baharu kepadanya dari segi pendekatan pengarahan, skrip dan cara bekerja produksi seni Negeri di Bawah Bayu ini.
Menggalas watak Inspektor Zafri dalam Mantera, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-25 itu berkata sikap keterbukaan, keikhlasan produksi tersebut dalam menerima idea tanpa mengira status serta semangat kerja berpasukan, antara faktor utama Syafie setuju untuk bekerjasama.
“Ketika ditawarkan, skrip masih dalam bentuk awal. Saya berjumpa dengan pengarah di sebuah kedai makan dan kami berbincang secara santai. Walaupun bajet terhad, semangat mereka luar biasa dan saya selesa bekerja dalam suasana sedemikian.
“Mereka sangat menghargai pandangan pelakon, itu yang membuatkan saya teruskan,” katanya sambil menambah filem itu turut membuka matanya mengenali lebih dekat lagi budaya masyarakat Sabah terutamanya dari sudut kepercayaan yang menjadi latar elemen seram filem berkenaan.
Ketika diajukan sama ada berhadapan dengan insiden menyeramkan, Syafie berkata dirinya tidak berdepan sebarang kejadian pelik, namun, seorang kru produksi dipercayai ‘ditarik’ makhluk halus sehingga terjatuh ke kawasan gaung semasa mereka semua sedang berehat sebentar daripada proses penggambaraan.
MAMPU PERGI JAUH
“Kru tersebut secara tiba-tiba menjerit lalu terjatuh. Bila dibawa naik semula, dia kelihatan trauma dan badannya berpeluh-peluh. Mujur tiada kecederaan serius,” katanya sambil menambah produksi seperti itu mampu pergi lebih jauh dengan sokongan sewajarnya dan dana mencukupi.
Dalam pada itu, Chester berkata Mantera yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 24 April ini, merupakan sebuah filem penyiasatan kes pembunuhan yang berkait rapat dengan ‘Bobolian’, iaitu amalan tradisi kaum Dusun di Sabah yang kini semakin jarang diamalkan.
Beliau berkata filem terbaharu arahannya itu bukan sahaja sarat dengan babak seram, malah turut memaparkan ritual yang dilakukan oleh ‘Bobolian’ serta menunjukkan elemen roh jahat dalam norma kehidupan masyarakat.
“Boleh dikatakan tidak ramai mengetahui tentang tradisi lama amalan ritual yang dilakukan oleh ‘Bobolian’ sebagai ketua adat serta menjadi perantara dan pengimbang antara dua alam, iaitu alam nyata (manusia) dan ‘kinohiringan’ (dewa).
“Jadi, saya berasakan kisah mengenai ‘Bobolian’ atau bomoh kaum Dusun ini menarik untuk diangkat menjadi sebuah filem,” ujarnya dan selain Syafie, filem ini turut menampilkan barisan pelakon popular lain termasuk Namron sebagai Sarjan Ramli serta beberapa pelakon kelahiran Sabah seperti Jovenia Jim (Tana), Wedylin Batala (Damiane) dan Larry Noh (Aaron). – Bernama