
KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) sedang meninjau kemungkinan mempercepatkan garis masa pemerolehan pesawat Boeing pesanannya selepas slot itu dilepaskan oleh syarikat penerbangan China susulan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.
Pengarah Urusan Kumpulannya Datuk Kapten Izham Ismail berkata MAG turut melihat keadaan itu sebagai peluang bagi mendapatkan penghantaran pesawat lebih awal walaupun persaingan dalam kalangan syarikat penerbangan global untuk slot tersedia itu kekal sengit.
“MAG kini dalam proses berbincang dengan Boeing mengenai kemungkinan mengambil alih slot itu bagi membolehkan kami dapat memenuhi jumlah (kumpulan pesawat) lebih awal.
“Semua pihak berminat…10,000 orang mahukan pesawat ini. Ya, ia kompetitif dan kami sendiri amat berhati-hati dengan apa yang diingini,” katanya kepada Bernama.
Laporan sebelum ini menyatakan kerajaan China telah mengarahkan syarikat penerbangannya untuk menghentikan penghantaran pesawat Boeing di tengah-tengah ketegangan perdagangannya dengan AS.

Berikutan itu, pengeluar pesawat AS itu telah mula menerbangkan pesawat terbabit kembali ke AS.
Mengulas selanjutnya, Izham berkata bahawa sebarang pesawat tambahan yang diperoleh kelak bukanlah sebahagian daripada pesanan awal sebanyak 25 pesawat di bawah perjanjian pajakan dengan Air Lease Corporation (ALC).
Pesawat di bawah ALC dengan Boeing akan dihantar kepada syarikat penerbangan Malaysia itu bagi tempoh dari 2023 hingga awal 2026.
“Sehubungan itu, jika kita dapat mengambil alih slot itu, MAG perlu ke pasaran modal bagi mengumpulkan wang untuk tujuan itu,” katanya.
Beliau turut menegaskan usaha mendapatkan pesawat itu juga bukan satu keputusan mudah kerana MAG perlu membuat pertimbangan dari segi ketetapan yang khusus.
“Di manakah pesawat itu di peringkat pengeluarannya…adakah masih di tahap tanpa pemilik atau sudah di tahap separuh jalan dalam proses itu? Pertimbangan lain adalah kapasiti bekalan tempat duduk.
“Perlu pertimbangkan apa yang dipesan berbanding yang ada. Jika pesawat ini sudah mempunyai tempat duduk (hampir siap), ini mungkin tidak memenuhi konfigurasi kami,” katanya.
Aspek lain dipertimbangkan adalah konfigurasi kabin pesawat yang dirujuk oleh industri sebagai susun atur kemudahan penumpang (LOPA), termasuk susunan tempat duduk, tandas dan ruang penyediaan makanan.
“Secara keseluruhannya, kami mahukan pesawat ini namun ada perkara lain yang perlu dipertimbangkan,” katanya.
Pengembangan Stategik Pesawat
Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi Kumpulan Bryan Foong Chee Yeong berkata MAG sedang mengubah strategi kumpulan pesawatnya bagi memenuhi permintaan rangkaian serantau Asia Pasifik yang kian berkembang, terutama di ibu kota ASEAN yang padat.
“Pada masa ini, kami adalah pengendali Boeing 737 iaitu pesawat badan sempit, namun menjelang 2035, kami menyasarkan kumpulan pesawat badan lebar.
“Sebagai contoh, destinasi seperti ibu negara ASEAN amat sesak. (Namun), kami tidak dapat menambah lebih banyak kekerapan (penerbangan) dalam beberapa laluan akibat kesesakan itu dan perlukan pesawat lebih besar untuk meningkatkan kapasiti,” katanya.
Beliau turut berkongsi hasrat MAG untuk mengembangkan atau menggantikan kumpulan pesawat Airbus A350 dengan matlamat jangka panjang ditetapkan setakat 2043.
Strategi Kewangan MAG dan Peranan Khazanah
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Boo Hui Yee berkata MAG telah melaksanakan pengurusan kewangan yang teliti dalam memanfaatkan komitmen suntikan modal RM3.6 bilion oleh pemegang saham tunggal Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) yang mengeluarkan RM1.3 bilion setakat ini.
“Kami mengendalikan tunai secara positif dan dapat menampung kos operasi. Sehingga Disember 2024, kami masih mempunyai (kira-kira) RM2.3 bilion tanpa pengeluaran dan tidak mahu mengeluarkan lebih banyak wang tunai yang kemudiannya mendorong pembawaan sebaliknya.
“Di bawah perjanjian penstrukturan semula, menjelang tahun ini mereka (Khazanah) sepatutnya menyuntik wang (RM3.6 bilion). Kami sedang berbincang dengan pihak pemajak untuk melanjutkannya kepada 2026 atau 2027,” katanya.
Izham juga berkongsi mengenai rancangan mengurangkan kebergantungan terhadap operasi pajakan dengan memperoleh lebih banyak pesawat secara terus.
Pada masa ini, kira-kira 80 peratus daripada kumpulan pesawat MAG adalah dipajak dan kumpulan itu berharap untuk mencapai keseimbangan 50 peratus dimiliki dan selebihnya di bawah pajakan, katanya.
“Pesawat yang disewa datang dengan kos akhir pajakan (EOL). Anda perlu mengembalikannya dalam keadaan hampir baharu yang melibatkan kos mahal. Hanya dengan pemilikan (pesawat) dapat membantu mengurangkan kos jangka panjang,” katanya. – Bernama