
PETALING JAYA: Persatuan Anak-Anak Limbang di Semenanjung (PAALS) menyasarkan keahlian seramai 500 orang bagi memperkukuh jaringan komuniti serta mempererat silaturahim dalam kalangan warga Limbang yang menetap di Semenanjung Malaysia.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata setakat ini keahlian PAALS telah mencecah lebih 200 orang, dan usaha sedang giat dilaksanakan untuk menambah bilangan ahli menerusi pendekatan berasaskan zon mengikut kawasan.
“Kita telah memperkenalkan sistem zon seperti zon utara, selatan dan timur bagi memudahkan penganjuran program di peringkat tempatan serta memudahkan ahli untuk menyertai aktiviti yang dianjurkan,” katanya kepada pemberita di Majlis Ramah Tamah Berdudun Raya PAALS di Wisma Prasarana di sini hari ini.
Hasbi berkata PAALS bukan sahaja bertujuan memperkukuh hubungan sesama anak Limbang, malah berperanan sebagai platform kebajikan dan sosial yang inklusif, merangkumi pelbagai kaum seperti Melayu, Iban dan lain-lain yang berasal dari Limbang.
“Program seperti ini dapat memupuk keharmonian dan persefahaman antara kaum, selaras dengan amalan turun-temurun masyarakat Sarawak yang hidup dalam kepelbagaian etnik dan agama,” katanya.
Hasbi yang juga penasihat persatuan itu turut menggalakkan ahli PAALS memanfaatkan platform berkenaan bagi memperkukuh ekonomi dan pembangunan diri.
“Ramai anak Limbang di Semenanjung bekerja makan gaji, berniaga, malah ada yang membuka klinik swasta. Melalui persatuan ini, kita boleh saling membantu untuk memajukan diri dan keluarga,” katanya. – Bernama