
KUCHING: Kira-kira 1,000 peserta membanjiri pekarangan Padang Merdeka seawal 7.00 pagi hari ini, bagi menyertai program Kuching Car Free Morning (KCFM) edisi khas Aidilfitri, yang disambut meriah dalam suasana penuh harmoni, perpaduan dan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, program ini bukan sekadar platform riadah, tetapi juga satu bentuk pendidikan tidak langsung kepada orang awam tentang kepentingan mengurangkan pelepasan karbon dalam bandar raya yang pesat membangun.
“Apabila kita kurangkan penggunaan kenderaan bermotor, walau hanya dari 6.00 pagi hingga 10.00 pagi, ia memberi peluang kepada alam sekitar untuk ‘bernafas’.
“Kita bantu kurangkan pelepasan karbon dioksida dan karbon monoksida yang biasanya dibebaskan oleh kenderaan di jalan raya,” jelasnya ketika ditemui pemberita pada program tersebut, pagi tadi.
Beliau menegaskan bahawa usaha melalui KCFM ini seiring dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri bebas karbon pada masa hadapan dan inisiatif seperti ini perlu diperluas ke bandar dan pekan lain di seluruh negeri agar kesedaran dapat ditanam secara menyeluruh dalam kalangan rakyat.
Tambahnya, penganjuran KCFM yang bersempena perayaan besar seperti Aidilfitri wajar diteruskan dan diselaraskan dengan sambutan lain seperti Hari Gawai, Tahun Baharu Cina dan Krismas agar ia menjadi satu model perpaduan dan kelestarian yang unik kepada Sarawak.
“Kita mahu rakyat Sarawak melihat bahawa menjaga alam sekitar boleh menjadi sesuatu yang menyeronokkan dan inklusif.
“Apabila kita sambut perayaan sambil beriadah tanpa kenderaan, kita sebenarnya menyambut masa depan yang lebih bersih dan bersatu,” ujarnya.
Beliau turut menggalakkan penggunaan alternatif seperti basikal dan kenderaan elektrik dalam menyertai program ini, selari dengan agenda hijau kerajaan negeri yang kini semakin diperkasakan melalui pelbagai dasar dan inisiatif lestari.
Kehadiran masyarakat pelbagai kaum lengkap berbaju Melayu, baju kurung dan kebaya turut menyerikan suasana sambutan Syawal di tengah-tengah bandar raya Kuching.
Turut hadir isteri beliau, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin serta Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman.
Oleh Rynna Sha’erra