
KOTA SAMARAHAN: Penganjuran Unimas Cadaveric Workshop 2025 dijangka memperkukuh sistem kesihatan Sarawak melalui latihan pembedahan telinga, hidung dan tekak (THT) bertaraf antarabangsa kepada pakar muda tempatan.
Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, bengkel itu merupakan satu pencapaian besar untuk negeri ini dalam usaha meningkatkan keupayaan latihan perubatan khususnya dalam bidang kepakaran THT memandangkan Sarawak masih dalam fasa membina ekosistem kepakaran pembedahan berteknologi tinggi.

“Kita mahu anak Sarawak diberi peluang belajar dan menjalani latihan pakar di negeri sendiri kerana sebelum ini mereka terpaksa ke Semenanjung atau ke luar negara untuk mendapat pendedahan sedemikian.
“Sarawak telah memulakan perkhidmatan implan otologi sejak 2012 dan hampir 200 pesakit telah menerima manfaat daripada teknologi seperti Bonebridge, implan telinga tengah, implan koklea dan implan batang otak pendengaran, hatta teknologi ini dahulu hanya terdapat di pusat pakar luar.
“Kerjasama yang terjalin menerusi bengkel ini juga membuka ruang untuk penyelidikan klinikal serantau yang mampu melonjakkan keupayaan universiti dan sistem kesihatan kita, serta menjadikan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) sebagai hab latihan pakar bedah THT bagi rantau Asia Tenggara,” katanya yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika berucap pada majlis perasmian UNIMAS ORL-HNS Cadaveric Dissection Course 2025 di Unimas, hari ini.

Dalam pada itu, Naib Canselor Unimas, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit menyatakan program tersebut mengukuhkan peranan UNIMAS sebagai pusat rujukan latihan pakar dalam bidang otorinolaringologi (telinga, hidung dan tekak) di Borneo, serta dalam bidang pembedahan yang sangat khusus dan memerlukan latihan langsung melalui kadaver.
“Kami percaya latihan intensif seperti ini adalah kunci untuk melahirkan pakar bedah THT yang berkaliber tinggi, serta untuk menangani kes kompleks yang semakin meningkat di hospital tempatan.
“Unimas komited menyediakan platform latihan terbaik dengan sokongan fasilitator antarabangsa, serta bagi memastikan peserta bukan sekadar memperoleh kemahiran, tetapi juga kefahaman klinikal yang mendalam,” jelasnya.
Unimas Cadaveric Workshop 2025 yang diketuai oleh Profesor Dr Tang Ing Ping, bakal berlangsung selama sepuluh hari disertai fasilitator dari dalam serta luar negara di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sarawak.
Bengkel ini melibatkan latihan pembedahan otologi, endoskopik pangkal tengkorak, kepala dan leher, serta pembedahan terbuka pangkal tengkorak, dengan peserta terdiri daripada pakar muda dan pelatih pembedahan dari Malaysia dan Asia Tenggara.
Program ini turut merangkumi Hari Kesedaran Chronic Rhinosinusitis with Nasal Polyps (CRSwNP) dengan saringan endoskopi hidung percuma, serta sokongan daripada rakan industri seperti MED-EL, Hearlife, dan Medtronic.
Turut hadir, Ketua Jabatan ORL-HNS Unimas dan Pengerusi Kursus Diseksi Cadaveric 2025, Prof. Dr. Tang Ing Ping; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Fitri Suraya Mohamad Hapni Joblie; Ketua Jabatan Otorinolaringologi (Telinga, Hidung, dan Tekak) di Hospital Umum Sarawak Dr. Asfa Najmi Mohammad Yusof; Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Prof. Dr. Asri Said serta tetamu kejormat lain.
Oleh Masrin Affirah