
KUCHING: Dalam usaha memperkukuh pembangunan sukan peringkat akar umbi menjelang penganjuran upacara pembukaan Sukan SEA 2027 di Sarawak, Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM Sarawak) terus komited memperkasakan belia menerusi penyertaan aktif dalam program kepimpinan dan sukan.
Terbaharu, AZAM Sarawak tampil menyokong penganjuran Court of Champions 3×3 Basketball Tournament 2025 anjuran pelajar tahun akhir SEGi College Sarawak, yang berlangsung di Sekolah Menengah Chung Hua No. 1 di sini.
Kejohanan itu menghimpunkan pasukan dari institusi seperti Universiti Teknologi Swinburne, Lodge School dan Sekolah Menengah Chung Hua No. 4.
AZAM Sarawak menerusi satu kenyataan berkata kejohanan itu bukan sahaja bagi menyemarakkan semangat persaingan sihat, tetapi turut meraikan nilai kesukanan, perpaduan dan potensi belia.
Majlis penutupan kejohanan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili, yang menyifatkan kejohanan tersebut sebagai satu gerakan kemajuan.
“Kejohanan ini lebih daripada sekadar sukan bola keranjang — ia adalah wadah untuk membina masa depan.
“Menerusi sukan, golongan muda bukan sahaja memperkukuh kemahiran fizikal, tetapi juga menerapkan nilai kepimpinan, kerjasama dan daya tahan.” katanya.
Beliau turut menyeru peserta agar terus menyertai inisiatif positif dan membina, sambil mengumumkan perancangan AZAM untuk meluaskan pelaksanaan program berfokuskan belia di seluruh negeri, termasuk melalui platform seperti AZAM-MYSED Speakers Club serta projek jangkauan luar bandar di kawasan seperti Lawas.
AZAM Sarawak turut menzahirkan sokongan penuh terhadap inisiatif yang diterajui belia menerusi platform AZAM Young Souls (AYS) yang menggalakkan penyertaan aktif dalam aktiviti sukan dan pembangunan kepimpinan, selaras dengan matlamat melahirkan generasi muda Sarawak yang seimbang, proaktif dan berdaya saing.
Berpegang kepada slogan ‘Gerakan Kemajuan’, AZAM Sarawak kekal teguh dalam usaha memperkasa belia melalui program yang dinamik, inklusif dan berasaskan komuniti demi masa depan Sarawak yang lebih cemerlang.
Oleh Rynna Sha’erra