
BEIJING: Suasana luar biasa mewarnai acara separuh maraton di ibu negara China, hari ini, apabila kira-kira 20 robot humanoid menyertai lebih 10,000 manusia berlari dalam perlumbaan sejauh 21 kilometer.
Antara yang mencuri tumpuan ialah robot Tiangong Ultra yang berjaya menamatkan perlumbaan dalam masa lebih dua jam 40 minit, lapor Agensi Berita Jerman dpa.

Bagaimanapun, ia masih jauh ketinggalan berbanding peserta manusia terpantas yang merakamkan masa larian 1 jam 11 minit 7 saat.
Laluan khas dengan penghadang keselamatan disediakan bagi memisahkan robot daripada peserta manusia, bertujuan memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang perlumbaan itu.

Berbeza dengan manusia yang singgah di stesen sokongan untuk mendapatkan air serta makanan ringan, robot-robot itu berhenti di stesen bantuan teknikal yang menyediakan bateri dan peralatan pembaikan.
Jurutera turut dibenar melakukan pelarasan terhadap robot masing-masing sepanjang perlumbaan itu berlangsung.

Acara berkenaan dilihat lebih sebagai satu demonstrasi teknologi berbanding persaingan sebenar.
China kini giat memperkukuhkan pembangunan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan robotik.
Ia selari dengan usaha China untuk merangsang ekonomi dan bersaing secara lebih agresif dalam bidang teknologi dengan Amerika Syarikat (AS).- Bernama-dpa