
PETRA JAYA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyifatkan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sarawak bagi sambutan Aidilfitri MADANI 2025 sebagai simbol kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, yang menjadi asas kepada kestabilan politik dan kemajuan ekonomi negara.
Dalam ucapan beliau pada majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Sarawak di Stadium Perpaduan hari ini, Abang Johari menyatakan bahawa meskipun Perdana Menteri mempunyai jadual yang padat, beliau tetap meluangkan masa untuk hadir bersama rakyat Sarawak meraikan Syawal.
“Walaupun Perdana Menteri kita memiliki jadual yang sibuk, termasuk lawatan rasmi ke China dan Bangkok, beliau tetap hadir ke Kuching untuk bersama-sama rakyat Sarawak. Ini jelas menggambarkan keakraban hubungan antara Putrajaya dan Petra Jaya,” katanya.
Beliau juga menekankan bahawa hubungan yang kukuh ini memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik negara serta pembangunan ekonomi yang berterusan.
Menurutnya, kepimpinan yang stabil di peringkat negara telah membolehkan Malaysia terus maju, meskipun berdepan pelbagai cabaran global.
“Apabila saya mencadangkan perubahan dan pendekatan ekonomi baharu kepada Datuk Seri Anwar, beliau menerima cadangan tersebut dengan terbuka. Ini jelas menunjukkan komitmen beliau dalam memastikan ekonomi negara terus berkembang,” tambahnya.
Potensi ekonomi Sarawak yang berasaskan kekuatan sumber alam dan kepelbagaian industri diharap dapat memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi negara, dengan Sarawak dijangka memainkan peranan utama dalam menjana pertumbuhan yang mampan.
Oleh Amanda L.