BINTULU: Dua individu maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di hadapan lampu isyarat Paragon di sini, lewat malam tadi.
Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Yiu Siew Lee, 34, dan Janam Ampar, 44. Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysian (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.54 malam, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikerahkan ke lokasi kejadian, yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Proton Saga.
“Terdapat empat mangsa dalam Proton Saga yang terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita.
“Dua mangsa tersepit dalam kenderaan, manakala dua lagi telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa lelaki yang cedera parah dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS, manakala seorang lagi mangsa wanita dibawa menggunakan ambulans KKM.
Sementara itu, pemandu Toyota Hilux yang merupakan warganegara China tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa pertama berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan penyelamat pada jam 12.08 tengah malam, namun disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM.
“Mangsa kedua pula dikeluarkan pada 12.21 tengah malam dan turut disahkan meninggal dunia,” ujarnya lagi.
Pihak bomba berkata, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Oleh Carolyne Utih