
KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus di Petronas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba mendedahkan dokumen sulit berkaitan prestasi operasi dan kewangan syarikat minyak nasional itu kepada Syarikat Petroleum Sarawak (Petros), Jun tahun lepas.
Mohd Khairul Akmal Mohd Jasni, 40, didakwa cuba melakukan pendedahan maklumat iaitu satu dokumen bertajuk “Q1 2024 Upstream Business Performance Operational & Financial” kepada Petros, iaitu dokumen berkenaan telah diperoleh ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas, di sebuah unit kondominium di Jalan Pinang, di sini, antara 3.19 petang dan 3.21 petang, 8 Jun 2024.
Pertuduhan mengikut Seksyen 203A (1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara yang boleh sampai setahun, manakala bagi Seksyen 511 membawa hukuman penjara tidak melebihi setengah daripada Seksyen 203A (1), jika sabit kesalahan.
Hakim Siti Shakirah Mokhtarudin membenarkan Mohd Khairul Akmal diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 19 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman manakala tertuduh diwakili peguam Fadhli Sutris. – Bernama