
KUALA LUMPUR: Juara beregu lelaki Kejohanan Badminton Asia 2025 Aaron Chia-Soh Wooi Yik berharap dapat mencapai kemuncak prestasi menjelang Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA28).
Wooi Yik berkata semangat mereka memang tidak pernah luntur dalam usaha melakar pencapaian lebih gemilang buat negara di temasya sukan berprestij dunia itu selepas membawa pulang gangsa pada dua edisi berturut-turut sebelum ini (Tokyo 2020 dan Paris 2024).
“Kita memang nak teruskan untuk empat tahun lagi bagi Sukan Olympik. Selepas Paris 2024, ini peluang kami untuk rebuild dan masih ada beberapa tahun lagi sebelum ke LA28,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Wooi Yik berkata mereka ketika ini masih sedang dalam fasa mengadaptasi corak latihan diterapkan ketua jurulatih baharu Herry Iman Pierngadi.
“Beliau juga membawa banyak player top sebelum ini, jadi memang kita percaya dengannya,” katanya.
Biarpun baharu dua bulan menjalankan tugas ketua jurulatih beregu lelaki negara namun Herry sudah menjelmakan magisnya dengan membimbing Aaron-Wooi Yik melakar sejarah muncul juara BAC 2025 di Ningbo, China, yang juga kejayaan sulung mereka pada saingan berkenaan.
Pasangan negara itu dinobatkan juara BAC 2025 selepas mengetepikan cabaran gandingan tuan rumah Chen Bo Yang-Liu Yi dengan kemenangan straight set 21-19, 21-17 di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Ningbo.
Lebih manis, kemenangan itu menamatkan penantian 18 tahun Malaysia dalam acara beregu lelaki di BAC – kali terakhir bergelar juara adalah pada edisi 2007 menerusi Choong Tan Fook-Lee Wan Wah di Johor Bahru.
Herry yang digelar ‘Naga’ sebelum ini melahirkan juara Sukan Olimpik Candra Wijaya-Tony Gunawan (Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008) selama 31 tahun mengabadikan diri membimbing skuad badminton Indonesia. – Bernama