
SIBU: Sebuah projek pembinaan kemudahan tertutup yang menempatkan 10 gelanggang pickleball dicadangkan dibina di Bukit Lima, bagi menyokong pembangunan pesat sukan itu di kawasan Sibu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, cadangan tersebut dilaksanakan susulan pertambahan minat terhadap sukan pickleball, namun kekurangan fasiliti yang sesuai menjadi kekangan utama ketika ini.
“Bagi fasa pertama projek ini, peruntukan sebanyak RM3.05 juta telah diluluskan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP), dan kini berada dalam proses senarai tender serta pentadbiran,” katanya ketika berucap pada majlis Penutupan Kejohanan Pickleball Tertutup Lanang 2025 di sini malam tadi.
Beliau berkata, permohonan tambahan sebanyak RM2 juta sedang dikemukakan di bawah RTP 2026 bagi membiayai fasa kedua projek berkenaan.
Chieng yang juga Presiden Persatuan Pickleball Sibu memaklumkan, setakat ini sebanyak 11 sekolah di Sibu telah menubuhkan kelab pickleball dengan keanggotaan melebihi 600 pelajar.
“Terdapat sekolah yang mempunyai lebih 100 ahli, sekali gus menunjukkan perkembangan positif dan kesungguhan dalam melatih bakat muda secara sistematik serta mempromosikan sukan ini di peringkat akar umbi,” katanya.
Menurut beliau, kejohanan Pickleball Antara Sekolah Peringkat Bahagian Sibu yang julung kali akan diadakan pada September ini bagi mencungkil lebih ramai bakat tempatan untuk mewakili Sarawak ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Tambahnya, perkembangan sukan pickleball di Sarawak turut menunjukkan peningkatan di beberapa kawasan lain termasuk Sarikei, Miri dan Bintulu, dan beliau menggalakkan kelab aktif menganjurkan lebih banyak kejohanan bagi memperkukuh hubungan komuniti serta meningkatkan mutu permainan.
Dalam kejohanan itu, pasukan Picklechu muncul juara kategori berpasukan, diikuti Northern Seahorse sebagai naib johan, manakala tempat ketiga dikongsi antara VV Team dan SibuBug PC.
Bagi kategori pemula, pasangan Clarence Ling Teng dan Aaron Teng Wei Jia muncul juara, diikuti Mohammad Zaini Hiri dan Mohammad Zamri Hiri di tempat kedua.
Tempat ketiga dikongsi pasangan Ngu Ung Yew dan Cayden Yu Xun Kai serta Tang Sie Lian dan George Ting Ding Wen.
Oleh Tarani Lanting