GEORGE TOWN: NI, penyedia platform berkaitan perisian yang membantu memacu pembangunan serta prestasi ujian automasi dan sistem pengukuran automasi, akan meneruskan projek pengembangannya di Pulau Pinang walaupun berdepan krisis Covid-19.
Pada 9 Jun lepas, NI yang dikenali sebagai National Instruments sebelum ini, telah mengumumkan bahawa perolehannya bagi suku kedua 2020 dijangkakan merosot sebanyak sembilan peratus tahun ke tahun.
Bagaimanapun, Naib Presiden Pembuatan Asia Pasifik merangkap Pengarah Urusan NI Malaysia P. Rajesh, yakin syarikat itu mampu pulih daripada krisis tersebut.
“Keadaan Covid-19 itu adalah sesuatu yang tidak dijangkakan dan akan terus berkembang. Walaupun landskap perniagaan masih dipengaruhi oleh keadaan yang tidak menentu, kami sebaliknya sentiasa bersedia untuk menguruskan cabaran berkenaan.
“Malah, menerusi langkah yang telah dilaksanakan, kami yakin dapat keluar daripada krisis ini dengan lebih kukuh,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Beliau berkata NI juga terbukti berjaya memenuhi komitmen untuk kalangan pelanggannya di peringkat global ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kami sentiasa meneliti dan mempertingkat cara perniagaan – daripada mengubah model operasi kepada penyusunan semula peranan dengan hasrat menjadi lebih berpaksikan pelanggan serta menetapkan landasan bagi tujuan pertumbuhan,” katanya.
Bulan lepas, syarikat tersebut melancarkan logo dan identiti visualnya yang baharu, menambah baik pengalaman digital dan kempen jenama terkini – ‘Engineer Ambitiously’ dalam usaha memperkukuh kedudukannya untuk menghubungkan penduduk, idea dan teknologi bagi memajukan dunia.
Bagi tahun ini, NI akan memperbesar kilang pengeluarannya seluas 24 hektar di kawasan bersebelahan kilang sedia ada.
Menurut Rajesh, kerja-kerja membabitkan kilang baharu itu dijangka bermula menjelang akhir 2020 dan siap dalam masa 18 bulan.
Projek terbaharu itu akan menelan kos kira-kira RM30 juta (US$7 juta) yang ditampung oleh dana daripada pelaburan yang telah diumumkan pada tahun lepas.
Beliau berkata pengembangan itu akan mewujudkan kira-kira 250 pekerjaan dalam perkhidmatan penyelidikan dan pembangunan, pembuatan serta perkongsian perkhidmatan.
“Walaupun dalam keadaan kelembapan ekonomi pada masa ini, NI terus melaksanakan pelan pengembangan dan pengambilan pekerjanya di Malaysia,” katanya.
NI berpangkalan di Austin, Texas dan mempunyai kira-kira 1,000 kakitangan di Pulau Pinang dengan lebih 70 peratus daripadanya terbabit dalam jawatan pengurusan, teknikal dan penyeliaan.
Pada 2019, syarikat berkenaan mencatatkan hasil berjumlah hampir US$1.35 bilion.- Bernama