
Liverpool semakin hampir untuk menjuarai liga. Foto AFP
LIVERPOOL: Liverpool boleh mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) Ahad ini sekiranya pendahulu liga itu berjaya menewaskan Leicester sekali gus menyingkirkan mereka dan Arsenal pula tewas kepada Ipswich.
Kemenangan Arsenal di Portman Road bagaimanapun boleh menyebabkan Ipswich secara matematik tersingkir sekiranya West Ham dan Wolves turut menang.
Berbeza dengan perebutan kejuaraan dan usaha mengelak penyingkiran, saingan untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara musim depan dijangka berlarutan hingga ke penghujung musim.
Hanya lima mata memisahkan Newcastle di tempat ketiga dengan Aston Villa di tangga ketujuh menjelang pertemuan mereka di Villa Park.
Dengan kelebihan 13 mata di puncak liga dan enam baki perlawanan, persoalan bukan lagi jika, tetapi bila Liverpool akan menyamai rekod 20 kejuaraan liga utama England milik Manchester United.
Dua lagi kemenangan akan mengesahkan kejuaraan buat skuad bimbingan Arne Slot dan mereka dilihat mempunyai jadual yang memihak kepada mereka, bermula dengan kunjungan ke Leicester yang bergelut, diikuti oleh aksi menentang Tottenham yang turut bergelut, di Anfield.
Namun, saingan kejuaraan mungkin tidak perlu menunggu lebih lama jika Ipswich berjaya mencatat kemenangan ke atas Arsenal.
Tumpuan Arsenal kini dilihat beralih ke kempen Liga Juara-Juara selepas kemenangan bergaya 5-1 secara agregat menewaskan juara bertahan Real Madrid di suku akhir.
Kepulangan Southampton ke Liga Kejuaraan pula disahkan dalam masa paling pantas dengan tujuh perlawanan masih berbaki.
Leicester dan Ipswich juga tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai jurang yang semakin melebar antara Liga Perdana dan liga divisyen kedua.
Untuk musim kedua berturut-turut, kesemua tiga pasukan yang dinaikkan pangkat dijangka akan kembali tersingkir.
Leicester, yang pernah mengejutkan dunia dengan menjuarai liga kurang sedekad lalu, mengalami musim yang mengecewakan, terutama sejak Ruud van Nistelrooy dilantik sebagai pengurus. – AFP