
MARUDI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang lagi mangsa tragedi arus deras di Sungai Segayan, Long Jekitan, Ulu Baram, diteruskan dan dipergiatkan pada hari kelima, hari ini.
Dalam kejadian itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun turut terkorban.
Mangsa lelaki yang masih hilang dikenali sebagai Dawellies Luing, 46, Penolong Pengurusan Murid (PPM) di SK Long Jekitan. Sementara itu, anak perempuannya, Valleri Mentie Dawellies, 9, telah ditemui lemas kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian di Sungai Segayan, sehari selepas insiden yang berlaku sekitar 2.00 petang.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri, hasil temubual anggotanya dengan isteri mangsa mendapati tragedi berlaku pada 13 April 2025, sekitar 10.00 malam.
Ketika kejadian, Dawellies bersama anak dan isterinya cuba menyeberangi Sungai Segayan dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux Single Cab yang dipandu oleh seorang penduduk tempatan.

Bagaimanapun, kenderaan tersebut terkandas di tengah sungai dan enjinnya mati sebelum dihanyutkan arus deras.
Pemandu dan isteri mangsa berjaya menyelamatkan diri, namun Dawellies dan anak perempuannya hilang dibawa arus.
Tambah beliau, operasi SAR melibatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Marudi serta penduduk kampung.
Operasi SAR dibahagikan kepada dua pasukan iaitu Ops SAR 1 dan Ops SAR 2, yang melibatkan pencarian sejauh 21 kilometer dari muara Long Silat ke Sungai Baram dengan menggunakan perahu milik penduduk tempatan.
Penduduk dari Kampung Long Jekitan, Long Makaba, Long Tikan dan Long Silat turut serta dalam operasi tersebut.
Namun begitu, pasukan SAR berdepan cabaran besar apabila terpaksa meredah arus sungai yang deras susulan hujan lebat yang berterusan sejak malam kelmarin.
Oleh Jiku Juguong