
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memperoleh ganti rugi RM2.5 juta selepas menang dalam kes saman terhadap Mohd Rasyiq Mohd Alwi atau dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq berhubung vaksin Covid-19 yang dimuat naik di media sosial, tiga tahun lepas.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memutuskan demikian selepas membenarkan saman fitnah difailkan Khairy, 49, yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau selaku plaintif terhadap Mohd Rasyiq, 45, sebagai defendan.
Hakim itu turut memerintahkan defendan membayar kos RM50,000 kepada plaintif.
Pada 25 Januari 2022, Khairy menyaman Mohd Rasyiq atas dakwaan memfitnahnya dengan membuat beberapa kenyataan fitnah termasuk menyiarkan tiga video dan gambar di Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’ pada 20 Oktober 2021 serta pada 6 dan 10 Januari 2022.
Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa dirinya telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi.
Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati kenyataan yang disangkal itu, dalam maksud semula jadi dan biasa, mengaitkan kelakuan tidak bermaruah atau memburukkan nama serta kekurangan integriti kepada plaintif.
“Akibatnya kenyataan ini cenderung untuk merendahkan reputasi plaintif pada pandangan masyarakat, mempunyai kesan buruk dan langsung kepada reputasi beliau dalam kerajaan, dan mendedahkannya kepada kebencian, penghinaan, cemuhan atau penghindaran oleh masyarakat.
“Kenyataan ini sememangnya merosakkan reputasi menteri dan peribadi plaintif. Oleh itu, saya bersetuju dengan plaintif selepas menyemak keterangan dan dokumen diberikannya, menunjukkan bahawa kenyataan tersebut tidak dapat dinafikan adalah palsu, tidak berasas dan tidak wajar,” katanya.
Hakim berkata mahkamah turut menerima keterangan plaintif, termasuk dakwaan keperluan dos ketiga vaksin untuk umat Islam di Malaysia yang menunaikan umrah adalah benar, kerana ia sepadan dengan peraturan Arab Saudi bagi mereka yang menerima vaksin Sinovac atau Sinopharm.
“Plaintif tidak membincangkan keperluan jenama vaksin spesifik untuk umrah atau haji. Pada sidang media 28 Dis 2021, plaintif menekankan hasrat Kementerian Kesihatan untuk bekerjasama dengan syarikat pelancongan yang menguruskan pakej umrah bagi memastikan semua rakyat Malaysia yang mahu menunaikan umrah mendapat dos penggalak mereka.
Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin berkata berhubung kenyataan fitnah kedua, keempat, kelima, keenam, ketujuh dan kelapan, mahkamah mendapati plaintif telah divaksin sebanyak dua kali dan menerima dos penggalaknya, seperti yang disahkan oleh PW2 (bekas Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah).
Beliau berkata mengikut keterangan plaintif telah menawarkan diri untuk mengambil bahagian dalam kajian tidak rasmi untuk mengukur tahap antibodinya selepas menerima dos ketiga, kerana beliau pada mulanya diberi vaksin Sinovac pada 18 Mac 2021 dan kemudian diberi vaksin Pfizer (Comirnaty) pada 4 Sept, tahun yang sama dengan dos ketiganya.
“Malah sebenarnya apabila Perdana Menteri ketika itu dan PW2 (Dr Noor Hisham) mengambil dos vaksin Pfizer sebagai rakyat Malaysia pertama dan kedua berbuat demikian, plaintif sengaja memilih untuk tidak mengambil vaksin ini sebagai dos pertamanya.
“Plaintif bagaimanapun menunggu, dan kemudian mengambil vaksin CoronaVac (Sinovac) sebagai dos pertama dan kedua selepas merasakan persepsi orang ramai agak meragui pada peringkat awal tempoh pelaksanaan vaksin, bagi memastikan orang ramai percaya kepada vaksin selain Pfizer,” katanya.
Hakim selanjutnya berkata tiada secebis pun bukti untuk menunjukkan bahawa plaintif, sebagai Menteri Kesihatan ketika itu, gagal mengurus dan menyekat penularan Covid-19, seperti yang dicadangkan oleh defendan.
“Malah keupayaan Malaysia menangani wabak Covid-19 di bawah kepimpinan plaintif sebagai Menteri Kesihatan telah diiktiraf di seluruh dunia. Menurut PW2, Malaysia telah dipuji sebagai salah satu negara yang berjaya dalam mengurus, menangani dan membendung penyakit berbahay itu,” katanya.
Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin, berkata defendan dengan sengaja merujuk kenyataan plaintif sebelum ini di luar daripada konteks dan jangka masa asalnya, dan mengemukakannya dengan cara yang tidak benar dan mengelirukan untuk mencipta naratif palsu.
“Saya rasa adalah tidak bertanggungjawab terhadap defendan untuk menimbulkan keraguan dan menyerang plaintif dengan cara sedemikian apabila kebanyakan, jika tidak semua rakyat Malaysia, berada dalam keadaan ketakutan yang tinggi apabila berhadapan dengan virus baharu yang tidak pernah dilihat sebelum ini, kecuali mungkin dalam filem,” katanya.
Hakim berkata dalam menghadapi krisis kesihatan serius yang tiada siapa pernah dilatih untuk menanganinya, mereka menyerahkan takdir mereka hanya kepada Tuhan sambil meletakkan kepercayaan kepada Kerajaan Malaysia untuk mengemudi keluar dari situasi yang boleh membawa maut ini.
“Pada masa itu memelihara nyawa dan kehidupan adalah agenda keutamaan tertingggi Kerajaan Malaysia, plaintif telah diberi amanah untuk menerajuinya, bersama-sama dengan Ketua Pengarah Kesihatan ketika itu.
“Selaras dengan keputusan antarabangsa yang dibuat, plaintif perlu membuat keputusan pantas berdasarkan bukti dan nasihat yang diberikan kepadanya oleh doktor, pegawai kesihatan awam dan penasihat perubatan dan saintifik,” tambahnya.
Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin, berkata kes itu seharusnya menjadi pengajaran bukan hanya kepada defendan, tetapi kepada semua individu untuk tidak menyebarkan maklumat tidak sahih serta serangan palsu, terutamanya semasa berhadapan dengan krisis hidup dan mati.
“Selain itu penerbitan gambar seorang anak plaintif adalah sesuatu tidak boleh dibiarkan kerana ia akan membahayakan kanak-kanak yang tidak bersalah. Kanak-kanak itu tidak berkaitan dengan peranan dan tanggungjawab plaintif dalam perjuangan menentang Covid-19,” katanya.
Hakim, berkata mahkamah juga mendapati kenyataan fitnah seperti itu juga melemahkan semangat dan menjejaskan emosi petugas barisan hadapan yang diketuai oleh plaintif semasa itu.
“Memandangkan kebanyakan kita bukan petugas barisan hadapan, kita tidak dapat memahami apa dihadapi mereka pada masa kritikal itu, yang masih tidak dapat dibayangkan, termasuk oleh saya sendiri.
“Mereka bukan sahaja dihujani dan dibebani dalam usaha serta dedikasi penuh dalam menangani peningkatan jumlah pesakit, termasuk yang kritikal, tetapi juga perlu merawat pesakit dengan penuh tumpuan tanpa mengambil kira kesejahteraan sendiri dan memikirkan apa yang mungkin mereka bawa pulang kepada keluarga.
“Akibatnya, dengan membuat kenyataan berbentuk fitnah bertujuan membangkitkan respon dengan naratif palsu dan tidak disokong, ia memburukkan lagi keadaan.
“Hak untuk memperjuangkan sesuatu perkara tanpa memutarbelitkan fakta adalah mulia selagi mematuhi undang-undang dan sempadan moral berkaitan,” katanya
“Oleh itu plaintif berhak menerima ganti rugi am berjumlah RM2 juta, iaitu RM250,000 bagi setiap kenyataan fitnah dan RM250,000 bagi ganti rugi teladan, RM250,000 bagi ganti rugi teruk, keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta,” katanya.
Sebelum menyampaikan keputusan, Raja Ahmad Mohzanuddin merakamkan ucapan takziah kepada Khairy atas pemergian bapa mentuanya, iaitu Perdana Menteri kelima Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Isnin lepas.
Sementara itu Khairy ketika ditemui media, bersyukur dengan keputusan yang memihak kepadanya.
“Saya sangat tertarik dengan hujah hakim, beliau sebut ini (kenyataan fitnah) bukan sahaja menjejaskan kredibiliti saya (ketika menjawat Menteri Kesihatan), tetapi juga menjejaskan kredibiliti semua pihak terlibat terutama petugas barisan hadapan dalam usaha kita memerangi Covid-19.
“Ini bukan sahaja kemenangan buat saya tetapi juga pengiktirafan terhadap usaha Kementerian Kesihatan (KKM) dan semua yang terlibat membebaskan Malaysia daripada pandemik itu,” katanya. – Bernama